Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Urus niaga flat jualan semula HDB menjunam 41.9% pada suku kedua

 Jumlah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dijual dalam pasaran jualan semula pada suku kedua menjunam 41.9 peratus di tengah-tengah tempoh "circuit breaker".

Anggaran Waktu Membaca:
Urus niaga flat jualan semula HDB menjunam 41.9% pada suku kedua

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 11:42AM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 11:45AM

SINGAPURA: Jumlah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dijual dalam pasaran jualan semula pada suku kedua menjunam 41.9 peratus di tengah-tengah tempoh "circuit breaker".

Perangkaan rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat (24 Jul) menunjukkan sebanyak 3,426 flat dijual antara April hingga Jun, merosot jika dibandingkan dengan 5,893 flat yang dijual pada suku pertama.

Jumlah urus niaga menjunam 45.4 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu, menurut data HDB.

Harga naik 0.3 peratus pada suku kedua berbanding tiga bulan sebelum itu, dengan indeks harga jualan semula - yang menyediakan maklumat mengenai naik turun harga secara amnya dalam pasaran jualan semula perumahan awam - meningkat kepada 131.9.

Meskipun di tengah-tengah krisis kesihatan global dan kejutan makroekonomi yang disebabkan oleh COVID-19, tiada pembetulan harga yang ketara tidak seperti krisis-krisis lalu, menurut ketua kajian dan runding cara OrangeTee & Tie Cik Christine Sun.

KEGIATAN TINJAU FLAT SECARA FIZIKAL DIHADKAN

Singapura menguatkuasakan 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 7 Apr untuk membendung penularan COVID-19. Ekonomi negara mula dibuka semula secara berperingkat-peringkat melalui Fasa 1 yang bermula pada 2 Jun.

Kegiatan meninjau-ninjau flat hanya disambung semula apabila Singapura melangkah ke Fasa 2 pada 19 Jun.

Menurut Cik Sun, para pembeli yang tidak dibenarkan untuk meninjau-ninjau flat secara fizikal turut menjejas penjualan.

Perangkaan HDB juga menunjukkan kemerosotan 9.1 peratus pada jumlah permohonan yang diluluskan untuk menyewakan flat-flat HDB, dari 11,591 pada suku pertama kepada 10,539 pada suku kedua. Berbanding tempoh yang sama setahun lalu, jumlah flat yang disewa merosot 14.6 peratus.

Setakat sehingga 30 Jun, terdapat 57,693 flat yang disewakan, naik 0.1 peratus berbanding suku sebelumnya.

PELANCARAN FLAT BARU

HDB akan melancarkan penjualan bagi sekitar 7,800 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Ang Mo Kio, Bishan, Choa Chu Kang, Geylang, Pasir Ris, Tampines, Tengah dan Woodlands pada Ogos.

Ia sebelum ini menyatakan bahawa penjualan flat BTO yang pada asalnya dijadualkan pada Mei akan digabungkan dengan penjualan pada bulan Ogos.

Pada November, HDB akan melancarkan sekitar 5,700 flat BTO di Bishan, Sembawang, Tampines, Tengah dan Toa Payoh.

Bagi kedua-dua pelancaran itu, tempoh menunggu bagi flat-flat di Choa Chu Kang, Tampines North dan Tengah adalah lebih singkat, menurut HDB.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan