Skip to main content

Kewangan

Urus niaga flat jualan semula HDB jatuh 1.7% pada suku kedua

Harga flat jualan semula HDB bagaimanapun naik 2.8 peratus daripada suku pertama.

Anggaran Waktu Membaca:
Urus niaga flat jualan semula HDB jatuh 1.7% pada suku kedua

(Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 22 Jul 2022 06:14PM
SINGAPURA: Urus niaga flat jualan semula HDB jatuh sebanyak 1.7 peratus dalam suku kedua 2022, menurut data yang dikeluarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Jumaat (22 Jul).

Sebanyak 6,819 urus niaga dijalankan pada suku kedua 2022, berbanding 6,934 kes dalam suku sebelumnya.

Penurunan yang dicatatkan buat tiga suku berturut-turut itu menunjukkan tanda-tanda pasaran mula hilang rentak, menurut Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan kajian di Huttons Asia, sambil menambah ia juga penjualan suku terendah sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan pada suku kedua 2020.

Harga jualan semula HDB naik 2.8 peratus daripada suku sebelumnya. Ia tinggi sedikit berbanding kenaikan 2.6 peratus dalam anggaran awal yang dikeluarkan HDB awal bulan ini.

Menurut data itu lagi, indeks harga jualan semula, yang menyediakan maklumat berhubung turun naik harga secara am dalam pasaran perumahan awam jualan semula, adalah 163.9 pada suku kedua, naik berbanding 159.5 pada suku sebelumnya.

Dari segi jenis flat, unit empat bilik adalah yang paling popular, dengan 2,909 permohonan jual semula didaftarkan pada suku kedua. Ia disusuli flat lima bilik dengan 1,762 permohonan dan 1,558 bagi flat tiga bilik.

Jumlah penjualan masih berada di paras sihat memandangkan harga kian naik selama beberapa suku secara berturut-turut, menurut Cik Christine Sun, naib presiden kanan kajian dan analitik di OrangeTee & Tie.

Pihak berkuasa juga meningkatkan binaan flat baru dan memendekkan tempoh siap yang dijangkakan bagi flat-flat baru, sekali gus memberi pembeli lebih banyak keyakinan untuk membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO), tambahnya.

Encik Lee berkata lebih banyak pembeli enggan membayar harga lebih tinggi bagi flat jualan semula.

Trend flat bernilai jutaan dolar bagaimanapun tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, membentuk lebih satu peratus jumlah urus niaga flat jualan semula secara keseluruhan dan boleh mencecah lebih 300 tahun ini, kata Encik Lee.

Beliau juga menambah mungkin ada lebih banyak flat lebih besar di estet-estet belum matang akan mencecah paras harga sejuta dolar pada bulan-bulan mendatang.

Dalam pasaran sewa, jumlah permohonan yang diluluskan untuk menyewakan flat HDB jatuh sebanyak 8.6 peratus, daripada 10,189 kes pada suku sebelum ini kepada 9,309 kes pada suku kedua.

Berbanding suku kedua pada 2021, jumlah permohonan yang diluluskan pada suku kedua 2022 adalah 15.2 peratus lebih rendah, menurut data HDB.

Pada akhir suku kedua 2022, sebanyak 56,014 flat HDB disewakan, iaitu penurunan 0.6 peratus berbanding 56,340 unit pada suku sebelumnya.

HDB menyatakan 23,000 flat baru BTO bakal dilancarkan tahun ini dengan sekitar 4,900 flat ditawarkan di kawasan-kawasan seperti Ang Mo Kio, Bukit Merah, Choa Chu Kang, Jurong East, Tampines dan Woodlands pada Ogos.

Sekitar 9,500 flat BTO akan ditawarkan di estet-estet seperti Bukit Batok, Kallang Whampoa, Queenstown, dan Yishun pada bulan November.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita