Skip to main content

Kewangan

UOB lanjutkan waktu operasi kaunter emas, beralih kepada pembelian berasaskan janji temu

Pelanggan UOB yang ingin membeli emas atau menukar simpanan mereka kepada emas fizikal di cawangan utama Raffles Place, perlu membuat janji temu terlebih dahulu bermula 13 Februari.
Anggaran Waktu Membaca:
UOB lanjutkan waktu operasi kaunter emas, beralih kepada pembelian berasaskan janji temu
Jongkong emas yang disusun di dalam bilik peti simpanan selamat di rumah emas Pro Aurum di Munich, Jerman pada 10 Januari 2025. (Gambar: REUTERS/Angelika Warmuth)
Diterbitkan : 09 Feb 2026 10:24PM
SINGAPURA: Pelanggan UOB yang ingin membeli emas atau menukar simpanan mereka kepada emas fizikal di cawangan utama Raffles Place, perlu membuat janji temu terlebih dahulu bermula 13 Februari.

Di tengah-tengah lonjakan permintaan baru-baru ini, UOB juga akan melanjutkan waktu operasi kaunter emasnya selama satu setengah jam.

Mulai 13 Februari, kaunter emas bagi pembelian jongkong akan dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 6.00 petang pada hari bekerja (tidak termasuk cuti umum), berbanding sebelum ini di mana ia ditutup pada pukul 4.30 petang.

Pembelian atau penukaran emas tanpa janji temu tidak lagi diterima.

“Dengan langkah ini, masa menunggu dapat dikurangkan dan pelanggan boleh dilayan mengikut waktu tempahan mereka,” menurut UOB dalam satu kenyataan media pada Isnin (9 Feb), sambil menambah bahawa janji temu boleh dibuat melalui laman bank itu mulai pukul 6.00 petang pada 12 Februari.

“Bagi para pelanggan yang ingin menjual emas kembali kepada kami, mereka masih boleh berbuat demikian di kaunter emas tanpa membuat janji temu dari pukul 9.30 pagi hingga pukul 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum,” menurut UOB.

UOB merupakan satu-satunya bank di Singapura yang menawarkan produk emas fizikal kepada para pelabur runcit.

Apabila harga emas merosot minggu lalu, orang ramai dilaporkan beratur untuk membeli emas, dengan para pelanggan memenuhi sebuah ruang legar bagi urus niaga jongkong di UOB Plaza 1.

Harga emas mengalami beberapa turun naik ketara pada 2026, melonjak ke paras tertinggi rekod melebihi AS$5,500 (S$6,976.23) satu auns menjelang akhir Januari sebelum merosot ke bawah AS$4,500 (S$5,707.82).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Ketua Kumpulan Pasaran Global UPB, Encik Kelvin Ng, berkata segmen emas fizikal bank itu mencatat pertumbuhan kukuh, dengan jumlah volum urus niaga, diukur dalam kilogram, meningkat 59 peratus dari tahun ke tahun pada 2025.

“Prestasi ini mencerminkan keutamaan yang seiring dan semakin kukuh dalam kalangan satu lagi segmen pelabur terhadap jongkong fizikal, khususnya sebagai kaedah untuk memelihara kekayaan jangka panjang dan kepelbagaian portfolio di tengah-tengah tempoh ketidakstabilan pasaran yang tinggi,” kata beliau.

Jumlah urus niaga bagi akaun simpanan emasnya pula meningkat 48 peratus dari tahun ke tahun.

“Secara keseluruhan, trend ini menunjukkan peningkatan menyeluruh dalam aktiviti pelaburan emas dalam kalangan pelanggan runcit kami,” kata Encik Ng.

“Kami menasihatkan pelanggan agar memanfaatkan kemudahan urus niaga online bagi akaun simpanan emas kami, untuk mengelakkan masa beratur yang panjang di tengah-tengah tempoh permintaan yang tinggi ini.”

Para pelanggan yang membeli emas fizikal secara online boleh mengambil pembelian mereka mulai hari bekerja berikutnya sehingga 10 hari bekerja selepas pembelian dibuat.

Mulai 13 Februari, pembelian online boleh diambil dengan membuat janji temu dengan bank tersebut.

UOB menyatakan bahawa akaun simpanan emasnya membolehkan para pelanggan membeli dan menjual emas secara digital, selain menyediakan peluang untuk mereka menukarkan pegangan kepada emas fizikal.
Sumber : CNA/Agencies/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita