Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

UOB buka semula baki cawangan di S'pura; sambung operasi sepenuhnya

United Overseas Bank (UOB) akan menyambung semula operasi kesemua cawangannya pada Khamis (20 Ogos) sedang bank itu membuka semula baki cawangannya. 

Anggaran Waktu Membaca:
UOB buka semula baki cawangan di S'pura; sambung operasi sepenuhnya

Cawangan UOB di Singapura. (Gambar fail: Nurfarahhin)

Diterbitkan : 20 Aug 2020 12:29PM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 12:30PM

SINGAPURA: United Overseas Bank (UOB) akan menyambung semula operasi kesemua cawangannya pada Khamis (20 Ogos) sedang bank itu membuka semula baki cawangannya.

Tujuh cawangan itu adalah di Bishan, Lapangan Terbang Changi, Coleman, Hougang, Pusat Kewangan Marina Bay, Upper Bukit Timah dan Hangout @ UOB.

"Ini menamatkan fasa terakhir rancangan pembukaan semula secara selamat dan sudah dinilai sepenuhnya," menurut bank itu dalam satu kenyataan media.

Bank itu ditutup semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan Singapura pada bulan April untuk membendung penularan COVID-19, dan secara bertahap-tahap menyambung semula perkhidmatannya ketika langkah-langkah sekatan dilonggarkan mulai Jun.

"Sejak dua bulan terakhir selepas kami mula membuka kembali cawangan kami secara beransur-ansur, trafik terus meningkat sedang pelanggan datang untuk bercakap dengan kami bagi mendapatkan sokongan berhubung aktiviti perbankan seperti nasihat kewangan dan keperluan perniagaan," kata Encik Benny Chan, ketua saluran UOB, Saluran Kumpulan dan Pendigitalan.

"Dengan menyambung semula operasi sepenuhnya, pelanggan kami dapat mengunjungi cawangan pilihan mereka."

Beliau juga menggalak pelanggan supaya menggunakan kaedah digital jika boleh, membuat janji temu online dan memanfaatkan khidmat beratur SMS untuk mengurangkan masa yang diluangkan di luar rumah mereka.

UOB akan mengekalkan langkah berjaga-jaga di semua cawangannya demi kesihatan dan keselamatan pekerja serta pelanggan, kata beliau.

Para pelanggan yang mengunjungi bank itu dikehendaki memakai pelitup, mendaftar keluar masuk menerusi SafeEntry, menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengisytiharkan tahap kesihatan serta sejarah perjalanan sebelum memasuki cawangan.

"Selain meningkatkan kekerapan pembersihan di semua cawangan, mesin juruwang automatik (ATM) dan lobi auto, bank ini juga menyapu lapisan pembasmi kuman gred komersil di kawasan-kawasan yang sering disentuh termasuk kaunter cawangan dan ruang janji temu di cawangan-cawangannya serta di ATMnya," jelas UOB.

Semua cawangan yang dibuka semula akan terus mengutamakan pelanggan warga tua dan mudah terjejas pada jam pertama operasi perbankannya, tambah kenyataan tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan