Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

UOB ambil alih operasi Citibank di 4 negara; dianggar bernilai S$5 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
UOB ambil alih operasi Citibank di 4 negara; dianggar bernilai S$5 bilion

Gambar fail UOB. (Gambar: Jeremy Long)

SINGAPURA: United Overseas Bank (UOB) akan mengambil alih perniagaan pengguna Citibank di empat negara yang dianggarkan bernilai S$5 bilion. 

Langkah tersebut akan melonjakkan status UOB sebagai sebuah bank runcit dan pengeluar kad utama di pasaran-pasaran berkenaan, menurut para eksekutif bank tersebut dalam sidang media pada pagi Jumaat (14 Jan).

Pemerolehan aset-aset Citibank di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam dijangka akan menggandakan jumlah pelanggan runcitnya kepada 5.3 juta secara keseluruhannya.  

Apabila pemerolehan itu selesai sekitar awal 2024, UOB dijangka akan menyediakan khidmat kepada kira-kira 10 juta pelanggan di Singapura dan rantau ini, menurut UOB.

Langkah tersebut diambil selepas Citibank mengumumkan pada April tahun lalu bahawa ia akan menarik diri daripada francais perbankan pengguna di 13 pasaran. 

Dalam wawancara melalui panggilan telefon bersama dengan pihak media, para penganalisis dan pelabur pada Jumaat (14 Jan), Ketua Pegawai Eksekutif UOB Wee Ee Cheong menyifatkan perjanjian itu sebagai satu 'transformasi' bagi bank tersebut.

Menurut beliau, matlamat jangka panjang UOB adalah untuk terus mengembangkan perniagaannya dan ia sentiasa meneroka peluang-peluang seperti itu.

Beliau turut menegaskan bahawa portfolio Citibank yang "bermutu dan saling melengkapi" amat sesuai dengan strategi UOB yang membolehkan bank tersebut untuk menyediakan wadah perbankan digital kepada para pelanggannya dan memenuhi keperluan kewangan Asia Tenggara.

Pemerolehan itu dijangka termasuk 5,000 pekerja Citibank di empat negara, termasuk pegawai kanan dan kakitangan yang berpengalaman.

Sumber : Today/FA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan