Skip to main content

Kewangan

Untung bersih MAS merosot kepada S$5.3 bilion akibat nilai kukuh dolar S'pura

Perangkaan tersebut, yang tidak termasuk sumbangan S$1.1 bilion kepada Dana Bersepadu, adalah lebih rendah berbanding keuntungan rekod yang dicatat tahun lalu sebanyak S$24.3 bilion.

Anggaran Waktu Membaca:
Untung bersih MAS merosot kepada S$5.3 bilion akibat nilai kukuh dolar S'pura

Bangunan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). (Gambar: AFP/ Roslan Rahman)

Diterbitkan : 04 Jul 2018 03:17PM Dikemas Kini : 04 Jul 2018 03:24PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak S$5.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac tahun ini.

Demikian menurut laporan tahunan bagi tahun kewangan FY2017/18 yang dikeluarkan hari ini (4 Julai).

Perangkaan tersebut, yang tidak termasuk sumbangan S$1.1 bilion kepada Dana Bersepadu, adalah lebih rendah berbanding keuntungan rekod yang dicatat tahun lalu sebanyak S$24.3 bilion.

Ia berlaku sedang kesan negatif mata wang sebahagiannya mengimbangi hasil pendapatan faedah biasa dan keuntungan daripada pelaburan.

Bagi tahun kewangan berakhir Mac lalu, MAS memperolehi keuntungan sebanyak S$8.5 bilion daripada pelaburan rizab antarabangsa rasmi (OFR).

Meskipun OFR mencatatkan "keuntungan pelaburan yang kukuh" sebanyak S$22.3 bilion, disebabkan pasaran global yang terus meningkat, ia dihakis kesan pertukaran mata wang negatif berjumlah sebanyak S$13.8 bilion akibat dolar Singapura yang semakin kukuh berbanding dolar Amerika dan yen Jepun.

Ini berbanding keuntungan pelaburan sebanyak S$30.1 bilion yang dicatatkan bagi tahun kewangan FY 2016/17 disebabkan nilai dolar Singapura yang lebih lemah berbanding mata wang utama lainnya.

"Keuntungan pelaburan ... sememangnya tidak menentu," kata pengarah urusan MAS, Ravi Menon.

Sepanjang tempoh 10 tahun lalu, keuntungan pelaburan, yang diperolehi selepas mengetepikan kesan pertukaran mata wang, adalah purata S$12.1 bilion setahun, menurut laporan tahunan bank pusat itu.

Setakat 31 Mac 2018, MAS mempunyai simpanan OFR S$376.5 bilion. Wang tersebut dilaburkan dalam portfolio yang pelbagai, terdiri daripada kelas aset yang berbeza di seluruh dunia, bagi meraih pulangan jangka panjang dan daya tahan yang baik merentas keadaan pasaran.

Sekitar tiga suku daripada portfolio MAS itu dalam bentuk mata wang Amerika, euro, yen dan pound British, dengan sebahagian besarnya adalah mata wang Amerika. Bon-bon pelaburan di ekonomi-ekonomi maju membentuk peruntukan terbesar dalam portfolio berkenaan, menurut laporan tahunan tersebut.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita