Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Uniqlo rancang luaskan sayap di S'pura; kedai fizikal masih 'amat penting',

Meskipun ia sedang berusaha mempertingkatkan pengalaman membeli-belah di platform e-dagangnya, kedai fizikal tetap aspek "amat penting" dalam perniagaan Uniqlo.

Anggaran Waktu Membaca:
Uniqlo rancang luaskan sayap di S'pura; kedai fizikal masih 'amat penting',

Gambar: Uniqlo Singapore

Diterbitkan : 08 Oct 2021 09:30PM Dikemas Kini : 08 Oct 2021 09:35PM

SINGAPURA: Meskipun ia sedang berusaha mempertingkatkan pengalaman membeli-belah di platform e-dagangnya, kedai fizikal tetap aspek "amat penting" dalam perniagaan Uniqlo.

Atas sebab itu jenama pakaian Jepun itu merancang untuk terus menambah kehadiran kedai runcitnya di Singapura, kata Encik Yuki Yamada, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Uniqlo di sini.

"Kami akan membuka lebih banyak cawangan sebagai sebahagian daripada program pengembangan perniagaan untuk terus memenuhi keperluan pelanggan kami," kata beliau dalam temu bual bersama Mediacorp pada Khamis (7 Okt).

"Kami tidak boleh mendedahkan bilangannya buat masa ini ... tetapi kami sedang bersiap sedia untuk membuka beberapa cawangan baru sekarang ini."

Uniqlo sudah 12 tahun beroperasi di Singapura, dan kini mempunyai 26 cawangan di merata negara dan menggajikan sekitar 1,400 kakitangan.

"Kedai fizikal tetap sangat penting ... dan merupakan tempat terbaik untuk memahami keperluan pelanggan," kata Encik Yamada. "Kami selalu berinteraksi bersama pelanggan menerusi kakitangan dan kami mahu memahami maklum balas mereka tentang produk kami, apa yang mereka mahu dan apa lagi yang boleh diperbaiki."

Lantas, tahun lalu, ia membuka semula tiga cawangannya dengan konsep beli-belah yang baru.

Terletak di pusat beli belah Orchard Central, Ion Orchard dan Plaza Singapura cawangan dengan konsep Bandar Uniqlo, atau Uniqlo Town mahu menawarkan lebih daripada pengalaman membeli belah.

Ini termasuk kerjasama dengan usahawan tempatan untuk menganjurkan bengkel.

Usaha itu nampaknya sudah membawa hasil, menurut Uniqlo dengan jumlah pengunjung di ketiga-tiga Uniqlo Town meningkat sebanyak purata 130 peratus sejak dibuka semula pada Julai tahun lalu.

Namun, ini tidak pula bermakna rangkaian pakaian itu tidak terjejas oleh pandemik.

Penjualan di kedai dan jumlah pengunjung terjejas teruk tahun lalu, kata Encik Yamada sambil menambah kesan paling teruk adalah menyusuli tempoh pemutus rantaian jangkitan sepanjang dua bulan tahun lalu.

Namun, ia mengenal pasti keperluan baru di tengah-tengah gaya hidup baru yang terjejas dengan pandemik. Dengan lebih banyak aturan kerja di rumah misalnya, ia memutuskan untuk menambah produk barangan seharian.

Jumlah penjualan kini sudah beransur pulih dengan "jumlah pengunjung yang baik" dilihat di cawangan-cawangannya di kawasan bandar dan kejiranan tahun ini, kata Encik Yamada.

Beliau menekankan Uniqlo yakin dengan "strategi baik" antara khidmat online dan fizikalnya. Ini sebabnya ia melancarkan khidmat baru seperti "klik dan ambil" di mana pelanggan boleh membeli barangan online dan memilih untuk mengambilnya di sebarang cawangan Uniqlo Town pada hari yang sama.

Kata Encik Yamada syarikat itu terus berusaha untuk memperbaiki strategi online hingga ke fizikalnya dan matlamat syarikat itu adalah untuk "menyepadukan operasi online dan fizikal secara bijak untuk pelanggan".

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan