Skip to main content

Kewangan

Uber batalkan keputusan pindah ibu pejabat Asia-Pasifik; kekal di S'pura sehingga hujung 2022

Syarikat kereta sewa Uber membatalkan keputusannya untuk memindahkan ibu pejabatnya di Asia-Pasifik keluar dari Singapura. Sebaliknya ia memutuskan untuk kekal di negara ini sehingga sekurang-kurangnya hujung 2022. 

Anggaran Waktu Membaca:
Uber batalkan keputusan pindah ibu pejabat Asia-Pasifik; kekal di S'pura sehingga hujung 2022

Logo Uber di pejabatnya di Bogota, Colombia, pada 12 Dis 2019. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 30 Jul 2020 06:14PM Dikemas Kini : 30 Jul 2020 06:16PM

SINGAPURA: Syarikat kereta sewa Uber membatalkan keputusannya untuk memindahkan ibu pejabatnya di Asia-Pasifik keluar dari Singapura. Sebaliknya ia memutuskan untuk kekal di negara ini sehingga sekurang-kurangnya hujung 2022.

Dua bulan lalu, syarikat itu menyatakan bahawa ia merancang untuk memindahkan ibu pejabatnya di Asia-Pasifik ke Hong Kong tetapi kini memilih untuk tidak berbuat demikian kerana kurang jelas tentang peraturan khidmat kereta kongsi di sana.

"Pada bulan Mei, kami menyatakan kami bersedia untuk memindahkan HQ APAC ke Hong Kong jika kami melihat kemajuan dalam peraturan kereta kongsi. Sejak itu, kami melihat sokongan masyarakat yang kuat untuk pembaharuan tetapi tidak pada tahap kepastian yang kami perlukan daripada pemerintah,” kata jurucakap Uber kepada Mediacorp pada Khamis (30 Jul).

“Sedang kami meneruskan usaha itu, kami memutuskan untuk mengekalkan Singapura sebagai hab serantau bagi jangka masa pertengahan," tambah beliau.

Pejabat syarikat itu di Singapura kini mempunyai sekitar 90 pekerja.

Pengumuman Uber dibuat pada Mei selepas firma itu menyatakan ia akan mengurangkan lagi 3,000 pekerjaan dan menutup 35 pejabatnya di seluruh dunia - termasuk di Singapura - akibat kesan daripada pandemik COVID-19.

Uber ketika itu menyatakan ia merancang untuk memindahkan habnya di Asia-Pasifik itu dalam tempoh "12 bulan akan datang".

Uber menjual perniagaannya di Asia Tenggara kepada Grab pada Mac 2018 tetapi mengekalkan pejabatnya di Singapura untuk mengendalikan operasi-operasinya di Asia-Pasifik.

Pada April 2019, ia membuka sebuah pejabat di Fraser Towers di Tanjong Pagar dengan sekurang-kurangnya 165 pekerja. Hab serantau itu mengendalikan urus niaganya di sembilan negara di Asia-Pasifik termasuk Australia, India dan Japan.

Hong Kong tidak mempunyai undang-undang khusus untuk mengawal perkhidmatan yang disediakan oleh aplikasi kereta sewa itu. Di bawah undang-undang negara itu, kenderaan yang tidak mempunyai lesen teksi atau memiliki permit kereta sewa untuk membawa penumpang dilarang daripada mendapatkan ganjaran.

Bulan lalu, pengurus besar Uber Hong Kong, Estyn Chung, mendesak pemerintah Hong Kong untuk menyediakan rangka kerja peraturan yang akan membolehkan syarikat itu berpindah ke wilayah khas China tersebut lapor South China Morning Post. 

Sumber : CNA/REUTERS/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita