Skip to main content

Kewangan

UAE tukar cuti hujung minggu ke Sabtu-Ahad; selaras dengan pasaran dunia

Amiriah Arab Bersatu (UAE) akan menukar minggu bekerja menjadi empat setengah hari mulai tahun depan, dengan cuti hujung minggu diubah kepada Sabtu dan Ahad.

Anggaran Waktu Membaca:
UAE tukar cuti hujung minggu ke Sabtu-Ahad; selaras dengan pasaran dunia

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 09:54PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 10:00PM

DUBAI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) akan menukar minggu bekerja menjadi empat setengah hari mulai tahun depan, dengan cuti hujung minggu diubah kepada Sabtu dan Ahad.

Langkah tersebut bagi menyelaraskan dengan lebih baik ekonominya dengan pasaran global, umumnya pada Selasa (7 Dis).

Negara Teluk pengeluar minyak yang juga hab komersil, perdagangan dan pelancongan rantau itu, kini melaksanakan hujung minggu Jumaat-Sabtu. Mulai 1 Jan 2022, hujung minggu baru akan bermula pada Jumaat petang.

UAE pada tahun lalu mengambil langkah untuk menjadikan ekonominya lebih menarik kepada pelaburan dan bakat asing sedang persaingan ekonomi semakin sengit dengan negara jiran Arab Saudi.

Minggu bekerja untuk badan-badan kerajaan akan bermula pada hari Isnin dan berakhir pada tengah hari Jumaat, sebelum solat Jumaat, menurut satu kenyataan kerajaan, sambil menambah bahawa ini akan meningkatkan keseimbangan antara kehidupan-kerja bagi kakitangan.

Tambah kenyataan itu, peralihan tersebut akan "memastikan urusniaga kewangan, perdagangan dan ekonomi berjalan lancar dengan negara-negara yang mengikuti hujung minggu Sabtu-Ahad, sekali gus memudahkan hubungan dan peluang perniagaan antarabangsa yang lebih kukuh untuk beribu-ribu syarikat yang berpangkalan di UAE dan berbilang negara".

Ketua pegawai strategi di Al Dhabi Capital, Mohammed Ali Yasin, berkata sektor kewangan akan meraih manfaat daripada keupayaan membuat pembayaran serentak dengan pasaran maju dengan industri pelancongan juga akan menjadi penerima manfaatnya.

"Ia boleh menjadi satu usaha percubaan perintis untuk negara lain di rantau ini," katanya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita