Skip to main content

Kewangan

Trump sahkan tarif ke atas import dari China, Mexico & Kanada berkuat kuasa pada 4 Mac

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (3 Mac) bahawa tarif 25 peratus ke atas barangan yang diimport dari Mexico dan Kanada akan dikuatkuasakan pada Selasa (4 Mac), mencetuskan kebimbangan baharu tentang perang dagang di Amerika Utara.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump sahkan tarif ke atas import dari China, Mexico & Kanada berkuat kuasa pada 4 Mac

Pasaran saham Amerika ditutup lebih rendah secara mendadak menyusuli komen Encik Trump. (Gambar: Reuters/Bryan Snyder)

Diterbitkan : 04 Mar 2025 06:59AM Dikemas Kini : 04 Mar 2025 07:00AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (3 Mac) bahawa tarif 25 peratus ke atas barangan yang diimport dari Mexico dan Kanada akan dikuatkuasakan pada Selasa (4 Mac), mencetuskan kebimbangan baharu tentang perang dagang di Amerika Utara.

Bercakap kepada para wartawan di Bilik Roosevelt di Rumah Putih, Presiden Trump berkata, “Esok tarif 25 peratus ke atas Kanada dan 25 peratus ke atas Mexico. Dan ia akan dikuatkuasakan".

Sebelum ini, Encik Trump berkata tarif tersebut adalah untuk memaksa kedua-dua negara jiran itu untuk meningkatkan usaha mereka membanteras penyeludupan fentanyl ke Amerika.

Pada Februari lalu, Encik Trump memberikan penangguhan selama sebulan kerana kedua-dua negara menjanjikan konsesi. Tetapi Encik Trump berkata pada Isnin (3 Mac) bahawa "tiada lagi ruang untuk Mexico atau Kanada" mengelakkan tarif baharu yang tinggi.

Pasaran saham Amerika ditutup lebih rendah secara mendadak menyusuli komen Encik Trump.

Encik Trump juga menandatangani perintah eksekutif untuk menaikkan tarif ke atas import dari China, kata Rumah Putih pada Isnin, memetik apa yang disifatkan sebagai kegagalan Beijing untuk menangani perdagangan fentanyl haram.

Perintah eksekutif itu menaikkan tarif 10 peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas China kepada 20 peratus, seperti yang dijanjikan Encik Trump, menurut catatan media sosial Rumah Putih.

TARIF TINDAK BALAS

Encik Trump juga berkata pada Isnin bahawa tarif tindak balas akan berkuat kuasa mulai 2 Apr.

Encik Trump turut memberi amaran kepada para petani bahawa tarif akan dikenakan ke atas "produk luar," sambil memberitahu mereka supaya bersiap sedia untuk menjual barangan mereka di dalam negara.

"Kepada para petani di Amerika Syarikat: Bersiap sedia untuk mula membuat banyak produk pertanian untuk dijual di Amerika Syarikat. Tarif akan dikenakan ke atas produk luar pada 2 April," tulis Encik Trump di platform media sosial peribadinya di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin memuncak.
Sumber : AP/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita