Skip to main content

Kewangan

Trump perluas perang dagang, umum tarif tinggi ke atas tembaga

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa (8 Jul) berkata beliau akan mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas tembaga yang diimport dan akan memperkenalkan cukai yang sudah lama diancam ke atas semikonduktor serta ubat-ubatan, memperluaskan perang dagangnya yang menggegarkan pasaran global.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump perluas perang dagang, umum tarif tinggi ke atas tembaga

Tembaga cair di loji peleburan Anglo American di Chagres, Chile, seperti yang diperoleh Reuters pada 26 April 2024. (Gambar fail: Anglo American/Edaran melalui REUTERS)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa (8 Jul) berkata beliau akan mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas tembaga yang diimport dan akan memperkenalkan cukai yang sudah lama diancam ke atas semikonduktor serta ubat-ubatan, memperluaskan perang dagangnya yang menggegarkan pasaran global.

Sehari selepas beliau memberi tekanan terhadap 14 rakan dagangnya termasuk pembekal utama seperti Korea Selatan dan Jepun dengan tarif yang jauh lebih tinggi, Encik Trump sekali lagi mengulangi ancaman tarif 10 peratus ke atas produk dari Brazil, India dan negara anggota BRICS yang lain.

Beliau turut berkata bahawa rundingan perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan China berjalan dengan lancar, sambil menambah bahawa beliau akan menghantar surat tarif kepada EU dalam tempoh beberapa hari.

Kenyataan Encik Trump, yang dibuat semasa mesyuarat Kabinet di Rumah Putih, dijangka menambah ketidaktentuan dalam ekonomi global yang sudah terjejas akibat pelbagai tarif yang dikenakan atau diancam oleh Amerika Syarikat terhadap import ke pasaran pengguna terbesar dunia itu.

Niaga hadapan bagi tembaga Amerika Syarikat melonjak lebih 10 peratus selepas pengumuman Encik Trump mengenai cukai baharu ke atas logam yang penting bagi kenderaan elektrik, peralatan ketenteraan, sistem grid tenaga dan pelbagai barangan pengguna.

Cukai itu akan ditambah kepada tarif sedia ada ke atas import keluli, aluminium dan kenderaan, namun ia masih belum jelas bila tarif baharu itu akan mula dikuatkuasakan.

Saham farmaseutikal Amerika Syarikat turut merosot meyusuli ancaman Encik Trump untuk mengenakan tarif 200 peratus ke atas ubat-ubatan import, yang menurutnya mungkin ditangguhkan bagi tempoh sekitar setahun.

Sementara itu, negara-negara lain menyatakan ia akan cuba untuk mengurangkan kesan cukai yang diancam Encik Trump, selepas tarikh akhir pada Rabu ditangguhkan ke 1 Ogos.

Pentadbiran Encik Trump sebelum ini berjanji akan memeterai “90 perjanjian dalam 90 hari” selepas beliau memperkenalkan pelbagai cukai khusus berdasarkan negara pada awal April.

Setakat ini, hanya dua perjanjian berjaya dimuktamadkan, dengan Britain dan Vietnam.

Menurut Encik Trump, perjanjian dengan India hampir dimeterai.

Encik Trump turut berkata bahawa negara-negara kini "berebut-rebut" untuk berunding dengan Amerika Syarikat.

Pada lewat Selasa malam, beliau berkata sekurang-kurangnya tujuh notis tarif akan dikeluarkan pada pagi Rabu, dengan lebih banyak menyusul pada sebelah petang.

Tiada butiran lanjut diberikan dalam catatan beliau di Truth Social.

Rakan dagang di seluruh dunia menyatakan bahawa ia amat sukar untuk berunding dengan Amerika Syarikat, walaupun hanya untuk merangka perjanjian.

Ini disebabkan oleh cara pengumuman tarif baharu yang tidak menentu, sekali gus menyulitkan perbincangan dalaman mereka berhubung sebarang konsesi.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita