Skip to main content

Kewangan

Trump meterai perjanjian perdagangan dengan Indonesia; EU siap sedia lancar tindak balas

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa (15 Jul) berkata bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangan dari Indonesia di bawah satu perjanjian baharu yang bertujuan mendapatkan syarat perdagangan yang lebih baik di samping mengurangkan defisit perdagangan yang besar.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump meterai perjanjian perdagangan dengan Indonesia; EU siap sedia lancar tindak balas

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berucap semasa satu majlis makan tengah hari di Rumah Putih, Washington, DC, pada 14 Julai 2025. (Gambar: REUTERS/Nathan Howard)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa (15 Jul) berkata bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangan dari Indonesia di bawah satu perjanjian baharu yang bertujuan mendapatkan syarat perdagangan yang lebih baik di samping mengurangkan defisit perdagangan yang besar. Perkara tersebut diumumkan sedang Kesatuan Eropah (EU) bersiap sedia untuk melancarkan tindakan balas sekiranya rundingan antara Washington dan rakan perdagangan utamanya gagal.

“Perjanjian yang hebat, untuk semua pihak, baru saja dimeterai dengan Indonesia. Saya sendiri berunding secara langsung dengan Presiden mereka yang sangat dihormati. BUTIRANNYA AKAN DIUMUMKAN!!!” kata Encik Trump dalam satu catatan di laman Truth Social.

Encik Trump memberitahu para wartawan di luar Pejabat Bundar bahawa Indonesia sudah bersetuju dengan tarif rata 19 peratus ke atas eksportnya ke Amerika Syarikat, manakala Amerika Syarikat tidak akan dikenakan sebarang cukai ke atas eksportnya ke Indonesia. “Mereka akan bayar 19%, dan kita takkan bayar apa-apa … kita akan mendapat akses penuh ke Indonesia,” katanya.

Beliau menambah bahawa perjanjian tersebut turut merangkumi kadar penalti bagi penghantaran semula (transhipment) barangan dari China melalui Indonesia serta komitmen Jakarta untuk membeli produk tenaga Amerika Syarikat bernilai AS$15 bilion (S$19.28 bilion), barangan pertanian Amerika Syarikat bernilai AS$4.5 bilion (S$5.78 bilion), dan 50 pesawat Boeing, meskipun tiada garis masa dinyatakan.

Jumlah dagangan Indonesia dengan Amerika Syarikat hampir mencecah AS$40 bilion (S$51.41 bilion) pada 2024, tetapi Indonesia tidak tersenarai sebagai salah satu daripada 15 rakan dagang utama negara tersebut. Namun, jumlah itu menunjukkan pertumbuhan. Eksport Amerika Syarikat ke Indonesia meningkat 3.7 peratus tahun lalu, manakala import dari Indonesia naik 4.8 peratus, menyebabkan Amerika Syarikat mencatat defisit perdagangan barangan hampir AS$18 bilion (S$23.13 bilion).

Kategori import utama Amerika Syarikat dari Indonesia, menurut data Biro Banci Amerika Syarikat yang diperoleh menerusi alat TradeMap oleh Pusat Perdagangan Antarabangsa, merangkumi minyak sawit, peralatan elektronik termasuk penghala data dan suis data, kasut, tayar kereta, getah asli dan udang beku.

Pegawai kanan Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Susiwijono Moegiarso, memberitahu Reuters melalui mesej teks: “Kami sedang menyediakan kenyataan bersama antara Amerika Syarikat dan Indonesia yang akan menerangkan saiz tarif timbal balik bagi Indonesia termasuk perjanjian tarif, langkah bukan tarif dan susunan komersial. Kami akan maklumkannya (kepada umum) tidak lama lagi.”

Perjanjian dengan Indonesia itu menyusuli perjanjian serupa yang baru-baru ini ditandatangani dengan Vietnam dan dimeterai menjelang tarikh akhir 1 Ogos, apabila tarif ke atas kebanyakan import Amerika Syarikat dijangka dinaikkan.

Encik Trump sebelum ini mengugut akan mengenakan tarif sebanyak 32 peratus ke atas Indonesia bermula 1 Ogos menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada presidennya minggu lalu. Encik Trump turut menghantar surat serupa kepada kira-kira 24 rakan dagang lain bulan ini, termasuk Kanada, Jepun dan Brazil, dengan menetapkan kadar tarif menyeluruh antara 20 hingga 50 peratus, serta tarif 50 peratus ke atas tembaga.

Tarikh akhir 1 Ogos itu memberi masa kepada negara-negara yang disasarkan untuk merundingkan perjanjian yang boleh menurunkan kadar tarif yang diancam. Sesetengah pelabur dan ahli ekonomi turut menyedari corak Encik Trump yang sering menarik balik ugutannya berhubung tarif.

Sejak melancarkan dasar tarifnya, Encik Trump hanya memeterai beberapa perjanjian meskipun pasukannya mendakwa mereka berusaha membawa pulang “90 perjanjian dalam 90 hari”. Setakat ini, rangka perjanjian sudah dicapai dengan United Kingdom dan Vietnam, manakala perjanjian interim pula telah dimeterai dengan China bagi mengelakkan tarif paling tinggi daripada dilaksanakan sementara rundingan antara Washington dan Beijing diteruskan.

Encik Trump turut berkata bahawa rundingan dengan India sedang berkembang dalam arah yang sama. “India pada asasnya sedang bekerja dalam aliran yang sama. Kita akan mendapat akses ke India … dan sekarang kita sedang mendapat akses kerana apa yang kita lakukan dengan tarif,” katanya.

EU BERSIAP SEDIA UNTUK MELAKSANAKAN TINDAK BALAS

Kemajuan rundingan dengan Indonesia itu berlaku ketika Suruhanjaya Eropah, badan eksekutif EU, bersiap sedia untuk menyasarkan barangan Amerika Syarikat bernilai €72 bilion (S$107.96 bilion), daripada pesawat Boeing dan wiski bourbon hingga ke kereta - untuk dikenakan tarif sekiranya rundingan perdagangan dengan Washington gagal.

Encik Trump mengancam akan mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas import dari EU bermula 1 Ogos, satu tahap yang tidak dapat diterima dan akan menamatkan perdagangan normal antara dua pasaran terbesar dunia itu, menurut pegawai Eropah.

Senarai barangan itu, yang dihantar kepada negara anggota EU dan dilihat oleh Reuters pada Selasa, disediakan sebelum tindakan Encik Trump hujung minggu lalu untuk meningkatkan tekanan ke atas blok 27 negara itu. Ia sebagai tindak balas terhadap tarif Amerika Syarikat ke atas kereta dan alat ganti kereta serta tarif asas 10 peratus.

Pakej itu turut merangkumi bahan kimia, peranti perubatan, peralatan elektrik dan ketepatan serta produk pertanian dan makanan, termasuk pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran, serta wain, bir dan minuman keras yang bernilai €6.35 bilion (S$9.5 bilion).

Selepas mesyuarat menteri-menteri EU di Brussels pada Isnin, para pegawai berkata mereka masih berharap untuk mencapai satu perjanjian bagi mengelakkan tindakan tarif berat yang dirancang Encik Trump.

Namun, Ketua Perdagangan EU, Maros Sefcovic, berkata para menteri dalam mesyuarat itu menunjukkan tekad yang tidak pernah dilihat sebelum ini untuk melindungi perniagaan Eropah melalui langkah balas sekiranya rundingan dengan Washington gagal membuahkan hasil.

Menurut anggaran Yale Budget Lab, kadar tarif efektif purata Amerika Syarikat dijangka meningkat kepada 20.6 peratus berdasarkan pengumuman Encik Trump pada 13 Julai lalu, tahap tertinggi sejak 1933.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita