Trump kecualikan telefon bijak, komputer, peranti elektronik lain daripada tarif 125% terhadap China
Pemerintah Amerika memberikan pengecualian tarif bagi telefon bijak, komputer dan barangan elektronik lain yang sebahagian besarnya diimport dari China, sekali gus mengelakkannya daripada tarif balas 125 peratus yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menghadiri mesyuarat Kabinet di Rumah Putih, Washington, DC, pada 10 April 2025. (Gambar fail: Reuters/Nathan Howard)
Dalam notis kepada syarikat-syarikat penghantaran, Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika (CBP) menerbitkan senarai kod tarif yang akan dikecualikan daripada tarif balas. Tarikh pengecualian tarif itu diundurkan hingga 12.01 tengah malam waktu tempatan (12.01 tengah hari, waktu Singapura) pada 5 Apr.
CBP menyenaraikan 20 kategori produk, termasuk kod 8471 yang sangat luas untuk semua komputer, komputer riba, pemacu cakera dan peranti pemprosesan data automatik. Ia juga termasuk peranti semikonduktor, peralatan digital, cip memori dan paparan panel rata.
Notis itu bagaimanapun tidak pula memberikan penjelasan di sebalik langkah pentadbiran Encik Trump, tetapi pengecualian lewat malam itu memberikan kelegaan yang dialu-alukan oleh firma-firma teknologi utama Amerika, termasuk Apple, Dell Technologies dan banyak pengimport lain.
Tindakan Encik Trump itu juga mengecualikan barangan elektronik tertentu daripada tarif "garis dasar" 10 peratus ke atas barangan dari kebanyakan negara selain China, di samping mengurangkan kos import bagi semikonduktor dari Taiwan dan iPhone yang dihasilkan di India.
Bagi import China, pengecualian hanya terpakai kepada tarif balas Encik Trump, yang meningkat kepada 125 peratus minggu ini, menurut seorang pegawai Rumah Putih. Duti 20 peratus Encik Trump sebelum ini ke atas semua import China yang dikatakannya berkaitan dengan krisis fentanyl di Amerika masih dilaksanakan.
Menurut para pegawai, Encik Trump akan melancarkan siasatan ke atas semikonduktor tidak lama lagi yang mungkin membawa kepada tarif baharu terhadap sektor itu.
Secara berasingan, jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata dalam satu kenyataan bahawa Encik Trump telah menjelaskan mengapa Amerika tidak boleh bergantung kepada China untuk mengeluarkan teknologi kritikal seperti semikonduktor, cip, telefon bijak dan komputer riba.
Atas arahan Encik Trump, firma-firma teknologi utama, termasuk Apple dan pembuat cip Nvidia dan Taiwan Semiconductor "sedang berusaha untuk memindahkan operasi pengeluaran masing-masing ke Amerika Syarikat secepat mungkin."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.