Trump ikrar tarif 25% ke atas produk Kanada & Mexico, cukai 35% terhadap China
Bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (25 Nov) bahawa pada hari pertama beliau kembali menyandang jawatan presiden, beliau akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk dari Mexico dan Kanada, dan tarif tambahan 10 peratus ke atas barangan dari China, sambil menyuarakan keprihatinan terhadap pendatang haram dan perdagangan dadah terlarang.
"Pada 20 Januari, sebagai salah satu daripada banyak Perintah Eksekutif pertama saya, saya akan menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada ke atas SEMUA produk yang masuk ke Amerika Syarikat, dan sempadan yang tidak masuk akal ini," kata Encik Trump dalam catatannya di Truth Social.
Encik Trump berkata tarif itu akan dikekalkan sehingga kedua-dua negara itu menyekat dadah, terutamanya fentanyl, dan pendatang yang melintasi sempadan secara haram.
Mengenai China, Encik Trump menuduh Beijing tidak mengambil tindakan yang secukupnya untuk menghentikan aliran dadah terlarang melintasi sempadan ke Amerika dari Mexico.
"Selagi mereka belum berbuat demikian, kami akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas China, melebihi mana-mana tarif tambahan, ke atas semua produk mereka yang masuk ke Amerika Syarikat," tegas Encik Trump.
Encik Trump sebelum ini telah berikrar akan menamatkan status China sebagai perdagangan negara paling digemari dan mengenakan tarif ke atas import China melebihi 60 peratus - jauh lebih tinggi daripada yang dikenakan semasa penggal pertamanya.
Ekonomi China berada dalam kedudukan yang lebih terdedah disebabkan oleh kemerosotan hartanah yang berpanjangan di negara itu, risiko hutang dan permintaan domestik yang lemah.
Dolar Amerika meningkat lebih 2 peratus berbanding peso Mexico selepas Encik Trump memuat naik catatan tersebut di platform media sosialnya.
Kementerian Luar dan Kementerian Ekonomi Mexico enggan mengulas tentang perkara tersebut ketika dihubungi Reuters.
Kedutaan China di Washington, Pejabat Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Kementerian Luar Kanada tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.