Skip to main content

Kewangan

Trump cetus kekeliruan mengenai tarif terhadap Kanada & Mexico; usul tarif 25% ke atas barangan EU

Presiden Donald Trump pada Rabu (26 Feb) berkata tarif baharu yang tinggi ke atas import dari Mexico dan Kanada mungkin akan dikuatkuasakan pada 2 Apr dan beliau juga mendedahkan bahawa tarif tindak balas sebanyak 25 peratus mungkin akan dikenakan ke atas kereta Eropah dan barangan lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump cetus kekeliruan mengenai tarif terhadap Kanada & Mexico; usul tarif 25% ke atas barangan EU

Presiden Donald Trump mengadakan mesyuarat pertama kabinet dengan kehadiran Elon Musk di Washington pada 26 Februari 2025. (Gambar: Reuters/Bryan Snyder)

Diterbitkan : 27 Feb 2025 11:03AM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 11:04AM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Rabu (26 Feb) berkata tarif baharu yang tinggi ke atas import dari Mexico dan Kanada mungkin akan dikuatkuasakan pada 2 Apr dan beliau juga mendedahkan bahawa tarif tindak balas sebanyak 25 peratus mungkin akan dikenakan ke atas kereta Eropah dan barangan lain.

Seorang pegawai Rumah Putih, bagaimanapun, berkata bahawa tarikh akhir pada 4 Mac yang diumumkan oleh Encik Trump sebelum ini untuk menguatkuasakan tarif 25 peratus ke atas barangan Mexico dan Kanada kekal berkuat kuasa "setakat ini," sementara menunggu semakan beliau terhadap tindakan Mexico dan Kanada untuk mengetatkan kawalan sempadan masing-masing dan menghentikan kemasukan pendatang haram dan fentanyl ke Amerika Syarikat.

Encik Trump mencetuskan kekeliruan semasa mesyuarat pertama kabinet pada Rabu 926 Feb), apabila beliau ditanya mengenai masa untuk menguatkuasakan tarif ke atas Kanada dan Mexico dan menjawab bahawa ia akan dilaksanakan 2 Apr.

"Saya perlu memberitahu anda bahawa pada 2 Apr, saya akan melakukannya pada 1 Apr," kata Encik Trump. "Tetapi saya mungkin akan melaksanakannya pada 2 Apr, tarif diteruskan. Bukan semua tetapi kebanyakannya."

Komen Encik Trump menyebabkan lonjakan pada nilai dolar Kanada dan peso Mexico berbanding dolar Amerika.

Menteri Inovasi Kanada Francois-Philippe Champagne memberitahu para wartawan bahawa Kanada akan menunggu perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Encik Trump sebelum bertindak balas.

"Matlamat kami masih untuk mengelakkan tarif, melanjutkan penggantungan jika perlu," kata Encik Champagne. "Kami sudah bersedia - akan ada tindak balas yang bersasar, strategik tetapi tegas" jika Trump mengenakan tarif.

Kementerian Ekonomi Mexico enggan mengulas mengenai kenyataan Encik Trump, tetapi berkata Menteri Ekonomi Marcelo Ebrard akan bertemu pada Khamis dengan Wakil Perdagangan Amerika Jamieson Greer dan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick pada hari Jumaat (28 Feb).

Encik Lutnick memberitahu mesyuarat kabinet bahawa tindakan berkaitan fentanyl telah ditangguhkan selama 30 hari tetapi merujuk kepada tarif "keseluruhan" pada 2 Apr. Beliau bagaimanapun tidak pula menyatakan sama ada tarikh akhir 4 Mac kekal berkuat kuasa.

"Jadi transaksi besar ialah pada 2 Apr, tetapi perkara berkaitan fentanyl, kami bekerja keras di sempadan," kata Encik Lutnick. "Pada penghujung 30 hari itu, mereka perlu membuktikan kepada presiden bahawa mereka telah memuaskan hatinya dalam hal itu. Jika ada, beliau akan menangguhkannya, atau beliau tidak akan berbuat demikian."

KADAR TARIF EU

Encik Trump telah menyasarkan awal April untuk mengenakan tarif tindak balas yang sepadan dengan kadar duti import negara lain dan mengimbangi sekatan lain mereka. Penasihat perdagangannya menganggap cukai nilai tambah Eropah sebagai serupa dengan tarif.

Encik Trump, apabila ditanya sama ada beliau telah memutuskan kadar tarif untuk barangan dari Kesatuan Eropah, menjawab: "Kami telah membuat keputusan, dan kami akan mengumumkannya tidak lama lagi, dan ia adalah 25 peratus, secara amnya, dan ia akan dikenakan ke atas kereta, dan semua barangan."

Beliau berkata EU "berbeza" daripada Kanada dan mengambil kesempatan daripada Amerika dengan cara yang berbeza.

"Mereka tidak menerima kereta kami. Mereka tidak menerima, pada asasnya produk ladang kami," kata Encik Trump sambil menambah bahawa EU ditubuhkan "untuk menghambat Amerika Syarikat."

Jurucakap Suruhanjaya Eropah berkata EU "akan bertindak tegas dan segera terhadap halangan yang tidak wajar ke atas perdagangan bebas dan adil," termasuk untuk tarif yang mencabar dasar undang-undang dan sifat tidak diskriminasi.

"Kesatuan Eropah ialah pasaran bebas terbesar di dunia. Dan ia menguntungkan Amerika Syarikat," kata jurucakap itu.

Roberta Metsola, Presiden Parlimen Eropah, merancang untuk bertemu dengan para penggubal undang-undang Amerika di Washington pada Rabu, tetapi bukan dengan mana-mana pegawai pentadbiran Trump.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita