Trump ancam tarif 25% jika iPhone tidak dibuat di Amerika Syarikat
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Jumaat (23 Mei) bahawa Apple perlu membayar tarif sebanyak 25 peratus sekiranya telefon yang dijual di negara itu tidak dihasilkan dalam negeri.
Seorang hadirin memegang dua iPhone 16 semasa acara anjuran Apple di Teater Steve Jobs dalam kampusnya di Cupertino, California, pada 9 September 2024. (Gambar: REUTERS/Manuel Orbegozo)
Saham Apple jatuh sebanyak 2.5 peratus bagi dagangan sebelum pasaran dibuka berikutan amaran Encik Trump, sekali gus menyebabkan niaga hadapan indeks saham Amerika Syarikat turut merosot.
“Saya telah lama memaklumkan kepada Tim Cook dari Apple bahawa saya menjangkakan iPhone yang akan dijual di Amerika Syarikat mesti dihasilkan dan dibangunkan di Amerika Syarikat, bukan di India atau mana-mana tempat lain,” kata Encik Trump dalam satu catatan di Truth Social.
“Jika tidak, Apple musti bayar tarif sekurang-kurangnya 25 peratus kepada Amerika Syarikat.”
Tidak jelas sama ada Encik Trump mempunyai kuasa untuk mengenakan levi terhadap sesebuah syarikat. Apple tidak segera memberi respons kepada permintaan Reuters untuk mengulas perkara tersebut.
Reuters melaporkan bulan lalu bahawa Apple meletakkan India sebagai pangkalan pengeluaran alternatif, di tengah-tengah tarif yang dikenakan pentadbiran Encik Trump ke atas China, yang telah menimbulkan kebimbangan terhadap rantaian bekalan dan kemungkinan harga iPhone yang lebih tinggi.
Pengeluar iPhone itu menyatakan sebahagian besar telefon bijakya yang dijual di Amerika Syarikat pada suku April hingga Jun akan dihasilkan di India.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.