Skip to main content

Kewangan

TikTok berhentikan kakitangan unit amanah dan keselamatan; susun semula unit tersebut

TikTok memberhentikan kakitangan global dari unit amanah dan keselamatannya yang mengendalikan penyederhanaan kandungan.

Anggaran Waktu Membaca:
TikTok berhentikan kakitangan unit amanah dan keselamatan; susun semula unit tersebut

Logo TikTok di luar sebuah pejabat di Culver City, California pada 16 Mac 2023. (Gambar: AFP)

SHANGHAI: TikTok memberhentikan kakitangan global dari unit amanah dan keselamatannya yang mengendalikan penyederhanaan kandungan.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada penyusunan semula syarikat tersebut, menurut tiga sumber yang mengetahui tentang perkara itu pada Khamis (20 Feb).

Dua sumber berkata bahawa Adam Presser, ketua operasi aplikasi yang juga menyelia unit tersebut, menghantar memo kepada para kakitangan pada Khamis (20 Feb) untuk memaklumkan mereka tentang langkah itu.

Pemberhentian pekerja itu dijalankan pada hari yang sama untuk pasukan-pasukan di Asia dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika, menurut dua sumber itu.

TikTok tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas tentang langkah tersebut.

Langkah itu diumumkan sedang nasib TikTok masih menjadi tanda tanya. Aplikasi video pendek popular yang digunakan oleh hampir separuh daripada semua rakyat Amerika digantung seketika bulan lalu, sebelum undang-undang berkuat kuasa pada 19 Jan yang memerlukan pemiliknya dari China, ByteDance sama ada menjualnya atas sebab keselamatan negara atau berdepan dengan larangan.

Pada Januari tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Chew Shou Zi memberi keterangan di hadapan Kongres bersama ketua Meta Mark Zuckerberg dan ketua teknologi dan media lain dalam perbicaraan di mana para penggubal undang-undang menuduh syarikat-syarikat itu gagal melindungi kanak-kanak daripada ancaman pelaku seksual yang semakin meningkat di platform masing-masing.

Menjawab soalan Senator Republican Lindsey Graham, Encik Chew berkata bahawa syarikat itu akan membelanjakan lebih AS$2 bilion untuk usaha mengukuhkan amanah dan tahap keselamatan platform tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, syarikat itu memberhentikan beratus-ratus pekerja daripada tenaga kerja globalnya, termasuk sejumlah besar kakitangan di Malaysia sedang ia mengalihkan tumpuan ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas dalam penyederhanaan kandungan.

TikTok menggajikan 40,000 karyawan amanah dan keselamatan di seluruh dunia. Reuters tidak dapat mengesahkan jumlah pekerja yang terjejas.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita