Tiada promosi: Grab tidak akan terlibat dalam 'perang harga' dengan Gojek
Para penumpang yang berharap untuk mendapatkan kembali promosi diskaun Grab selepas kemasukan pesaing baru Gojek dalam pasaran, akan berasa kecewa. Eksekutif kanan Grab menegaskan syarikatnya tidak akan melancarkan diskaun lagi.
SINGAPURA: Para penumpang yang berharap untuk mendapatkan kembali promosi diskaun Grab selepas kemasukan pesaing baru Gojek dalam pasaran, akan berasa kecewa. Eksekutif kanan Grab menegaskan syarikatnya tidak akan melancarkan diskaun lagi.
Sebaliknya, firma tersebut mengambil kira maklum balas pelanggan dan akan memulakan perkhidmatan atas permintaan yang lebih dimampui menggunakan kenderaan lebih besar pada tahun depan, dedah ketua Grab Singapura Lim Kell Jay dalam wawancara dengan Mediacorp.
Syarikat itu juga akan melancarkan khidmat bagi haiwan peliharaan bermula Januari.
Encik Lim berkata syarikat yang berpangkalan di Singapura itu belajar daripada pengalaman yang menunjukkan bahawa memberi promosi diskaun tidak mampan dan hanya membuat penumpang "menjadi marah" apabila ia dihentikan.
"Tidak bijak kalau kita tidak belajar daripada pengalaman itu," kata Encik Lim pada Rabu (5 Dis), sekitar seminggu selepas syarikat dari Indonesia, Gojek melancarkan aplikasi percubaan di sini dengan promosi untuk mengumpan pelanggan.
Awal tahun ini, Grab mencetuskan kemarahan penumpang apabila ia menghentikan promosi bagi khidmat syarikat itu selepas mengambil alih operasi Uber Asia Tenggara pada Mac. Kedua-dua syarikat sebelum ini sering menawarkan promosi dalam persaingan untuk merebut pasaran.
Sebagai respons terhadap maklum balas pengguna mengenai tambang tinggi, Encik Lim berkata Grab merancang untuk melancarkan khidmat berdasarkan permintaan menggunakan kenderaan lebih besar seperti untuk tujuh atau 13 penumpang. Khidmat yang belum diberikan nama itu akan diuji pada separuh pertama tahun depan.
Untuk memenuhi keperluan kumpulan ini juga, tambang akan lebih rendah daripada khidmat kongsi khidmat GrabShare, lebih mahal daripada pengangkutan awam. Ia akan ditentukan berdasarkan jarak perjalanan.
Selain itu, Grab akan memperkenalkan khidmat mesra haiwan peliharaan, GrabPet yang akan diuji pada bulan Januari, kongsi Encik Lim.
TIADA LAGI PERANG HARGA
Bagi menarik pengguna untuk mencuba perkhidmatan barunya, Grab akan menawarkan promosi. Namun, Encik Lim berkata syarikatnya sudah "beralih" dari promosi 'ad hoc' dan berusaha untuk memberi nilai jangka panjang kepada penumpang.
"Hakikatnya adalah promosi merupakan huraian jangka pendek: Ia hanya tertumpu pada satu transaksi tertentu," katanya.
"Kita perlu melihat kesan jangka panjang. Kami bukan di pasaran untuk jangka pendek."
Pada 29 November, Gojek yang berpangkalan di Jakarta melancarkan aplikasinya kepada pengguna Singapura secara bertahap. Sejak itum syarikat tersebut menawarkan pelbagai promosi, termasuk baucar untuk pelanggan bersama rakan kongsinya, bank DBS.
Penyelidik pengangkutan Lee Der-Horng dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata Gojek mungkin tidak mempunyai pilihan selain bersaing menggunakan harga pada tahap ini.
Meskipun demikian, Profesor Lee berkata platform itu akan perlu bersaing berdasarkan "mutu dan nilai khidmat" dalam jangka panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.