Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Tengkujuh, kurang tenaga kerja & kos lebih tinggi antara punca harga sayur naik di M'sia

Harga sayur-sayuran di Malaysia melonjak antara 30 hingga 40 peratus baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Tengkujuh, kurang tenaga kerja & kos lebih tinggi antara punca harga sayur naik di M'sia

Gambar Hiasan: Mediacorp

Diterbitkan : 30 Nov 2021 08:51AM Dikemas Kini : 30 Nov 2021 08:53AM

KUALA LUMPUR: Harga sayur-sayuran di Malaysia melonjak antara 30 hingga 40 peratus baru-baru ini.

Antara faktor di sebalik kenaikan harga itu termasuk musim tengkujuh yang lebih buruk daripada biasa, kekurangan tenaga kerja dan kos penghasilan yang lebih tinggi, kata para pemain industri.

Menurut Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, harga sayur-sayuran lazimnya meningkat pada hujung tahun kerana kegiatan penghasilan sayur-sayuran terjejas oleh musim monsun.

"Hujan lebat membuat keadaan tidak sesuai untuk menanam sayur-sayuran. Baja terhakis dan akarnya terdedah lantas kelembapan membuatnya lebih mudah rosak selain tidak mendapat sinaran matahari yang secukupnya untuk tumbuh subur," kata setiausaha persatuan itu, Encik Chay Ee Mong.

Selain itu, ladang-ladang sayur Cameron Highlands amat bergantung kepada pekerja hijrahan dan kebanyakan mereka sudah pulang ke tanah air masing-masing disebabkan oleh pandemik COVID-19 sejak tahun lalu, tambahnya.

Malah, keputusan kerajaan untuk membekukan pengambilan tenaga kerja hijrahan sejak Jun 2020 bermakna ladang-ladang tidak boleh menggajikan pekerja hijrahan baru.

Tambahnya, para peladang juga berdepan masalah kos yang meningkat bagi keperluan pertanian seperti baja dan perkakas peladangan termasuk geotekstil dan struktur perlindungan cuaca.

Presiden Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Lim Ser Kwee menarik perhatian bahawa harga sayur-sayuran semakin meningkat tetapi kenaikan tahun ini amat mendadak.

Harga lada misalnya naik dari RM7 (S$2.26) sekilogram kepada RM10 (S$3.23). Malah minggu lalu, ia mencecah RM20 (S$6.46) sekilogram.

"Sejujurnya, harga sayur adalah seperti harga saham. Ia naik turun, tetapi secara keseluruhannya naik sekitar 30 dengan 40 peratus," kata Encik Lim yang mengendalikan sebidang ladang sayur-sayuran di Simpang Renggam, Johor.

Sekitar 40 peratus hasil tuai sayur-sayuran Johor dieksport ke Singapura, kata beliau meskipun tidak pasti berat keseluruhannya.

"Tetapi saya sudah memaklumkan kepada para anggota persatuan bahawa eksport sudah merosot sekitar 20 hingga 30 peratus (disebabkan hasil berkurangan). Jika harga sudah naik di sini, maka mustahil harga tidak naik di Singapura," tambahnya.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan