Skip to main content

Kewangan

Temasek rancang labur hingga AS$30 bilion di Amerika dalam tempoh 5 tahun akan datang

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Pelabur negara, Temasek merancang untuk melabur sehingga AS$30 bilion (S$40.3 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang di Amerika Syarikat dalam sektor-sektor seperti penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan teknologi.

"Ia adalah pasaran modal yang sangat luas di Amerika," kata Jane Atherton, ketua Temasek di Amerika Utara, kepada Reuters. "Amerika benar-benar berada di barisan hadapan dalam semua yang berlaku dari perspektif Kecerdasan Buatan (AI)."

Ekonomi Amerika berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan pada suku kedua dan terus mengatasi prestasi rakan-rakan globalnya. Walaupun terdapat pergolakan baru-baru ini, S&P 500 meningkat 14.5 peratus tahun ini, dengan peningkatan itu sebahagiannya didorong oleh keghairahan terhadap AI.

Ini berbanding China yang melaporkan pertumbuhan lebih lemah daripada jangkaan awal bulan ini dan mengejutkan pasaran dengan memotong kadar faedah utama, baik jangka pendek mahupun jangka panjang pada minggu lalu dalam usaha untuk merangsang ekonominya.

Kira-kira 22 peratus daripada pelaburan Temasek adalah di Amerika, atau AS$63 bilion (S$84.7 bilion), dan 19 peratus di China. Pendedahannya di Amerika melepasi China pada tahun kewangan lalu buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Di Amerika, Temasek amat berminat dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan AI, seperti pusat data, semikonduktor dan kuasa bateri, kata Cik Atherton.

Temasek mendedahkan pada awal bulan ini bahawa keuntungan daripada pelaburan di Amerika dan India membantu mengimbangi prestasinya yang hambar di China.

Temasek turut mendedahkan bahawa ia mengambil pendekatan yang berhati-hati terhadap China di tengah-tengah ketegangan perdagangan.

"Geopolitik sentiasa memainkan peranan," kata Cik Atherton sambil menambah bahawa China memperlihatkan prestasi rendah terutama Amerika sejak tiga tahun lalu.

Temasek menguruskan portfolio bernilai AS$288 bilion (S$387 bilion) yang tertumpu kepada pelaburan jangka panjang dalam bidang-bidang seperti pendigitalan dan kemampanan.
Sumber : Reuters/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita