Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Temasek pelabur terkini hapus kira pendanaan $275 juta selepas FTX jatuh muflis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Syarikat pelaburan negara, Temasek Holdings, menyatakan ia akan menghapus kira nilai keseluruhan pelaburan sebanyak S$275 juta dalam pertukaran mata wang kripto FTX yang muflis, dalam langkah terbaru oleh pelabur FTX.

"Memandangkan kedudukan kewangan FTX, kami memutuskan untuk menghapus kira pelaburan penuh kami dalam FTX, tanpa mengira keputusan permohonan perlindungan daripada muflis oleh FTX," menurut Temasek pada Khamis (17 Nov).

Pelabur FTX yang lain seperti Vision Fund dari Softbank Group dan Sequoia Capital sudah menurunkan pelaburan mereka kepada sifar selepas FTX, yang dipimpin Sam Bankman-Fried, memohon atas perlindungan daripada muflis di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu dalam kekecohan kripto berprofil tertinggi setakat ini.

Temasek menyatakan ia melabur $210 juta untuk 1 peratus dalam FTX International dan $65 juta untuk 1.5 peratus dalam FTX AS, dalam dua pusingan pendanaan dari Oktober 2021 hingga Januari 2022.

"Kos pelaburan kami dalam FTX ialah 0.09 peratus daripada nilai portfolio bersih kami sebanyak S$403 bilion ($294.3 bilion) setakat 31 Mac 2022," katanya.

Temasek menyatakan pelaburan peringkat awalnya merangkumi kira-kira enam peratus daripada jumlah portfolionya.

Ia berkata tesis bagi pendanaan FTX adalah untuk melabur dalam pertukaran aset digital terkemuka yang akan menyediakannya dengan "pendedahan agnostik protokol dan pasaran tidak berpihak" kepada pasaran kripto dengan model pendapatan yuran dan tiada risiko dagangan atau kunci kira-kira.

Temasek menyatakan ia buat masa ini tidak mempunyai pendedahan langsung dalam mata wang kripto.

Ia berkata ia menjalankan proses penilaian wajar yang meluas ke atas FTX dari Februari hingga Oktober 2021, di mana ia menyemak penyata kewangan audit FTX, yang menunjukkan ia boleh membawa keuntungan.

"Jelas daripada pelaburan ini bahawa mungkin kepercayaan kami kepada tindakan, pertimbangan dan kepimpinan Sam Bankman-Fried, yang terbentuk daripada interaksi kami dengannya dan pandangan yang dinyatakan dalam perbincangan kami dengan orang lain, satu kepercayaan yang salah," katanya.

($1 = 1.3693 dolar Singapura)
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan