Skip to main content

Kewangan

Tarif Trump akan dikekalkan buat masa ini susuli keputusan mahkamah rayuan

Anggaran Waktu Membaca:
Tarif Trump akan dikekalkan buat masa ini susuli keputusan mahkamah rayuan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyampaikan ucapan tentang tarif di Rumah Putih di Washington DC pada 2 Apr 2025. (Gambar: Reuters/Carlos Barria)

Diterbitkan : 30 May 2025 07:47PM Dikemas Kini : 30 May 2025 07:48PM
WASHINGTON: Mahkamah rayuan persekutuan pada Khamis (29 Mei) membenarkan tarif Presiden Donald Trump dilaksanakan semula buat sementara waktu ini, sehari selepas mahkamah perdagangan memutuskan bahawa Encik Trump telah menjangkaui bidang kuasanya semasa beliau mengenakan tarif tersebut.

Mahkamah Rayuan Persekutuan Amerika di Washington menyatakan bahawa ia telah menggantung keputusan mahkamah rendah untuk mempertimbangkan rayuan pemerintah, dan mengarahkan plaintif dalam kes-kes itu memberikan respons masing-masing sebelum 5 Jun dan kepada Pentadbiran Presiden Trump menjelang 9 Jun.

Keputusan mengejut pada Rabu oleh Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika telah mengancam akan memansuhkan atau sekurang-kurangnya menangguhkan penguatkuasaan tarif Encik Trump yang dipanggil 'Hari Pembebasan' ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang Amerika dan tarif tambahan ke atas barangan dari Kanada, Mexico dan China.

Encik Trump menuduh ketiga-tiga negara itu membenarkan fentanyl memasuki Amerika.

Panel tiga hakim mahkamah perdagangan memutuskan bahawa Perlembagaan memberi Kongres, bukan presiden, kuasa untuk mengenakan cukai dan tarif, dan presiden telah bertindak melebihi bidang kuasanya dengan menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa, undang-undang yang bertujuan untuk menangani ancaman semasa kecemasan negara.

Encik Trump sebelum ini mengkritik keputusan mahkamah perdagangan. Dalam catatannya di Truth Social, Encik Trump berkata: "Keputusan Mahkamah Perdagangan Antarabangsa sangat salah, dan sangat bermotif politik! Mudah-mudahan, Mahkamah Agung akan membatalkan keputusan yang buruk ini, yang mengancam negara ini, dengan PANTAS dan TEPAT."

Para pegawai kanan Pentadbiran Presiden Trump berkata mereka tidak terpengaruh dengan keputusan mahkamah perdagangan, mengatakan mereka menjangkakan sama ada akan menang dalam rayuan yang dikemukakan atau menggunakan kuasa presiden untuk memastikan ia akan dikuatkuasakan.

Encik Trump telah menggunakan ancaman untuk mengenakan tarif yang tinggi terhadap pengimport bagi barangan dari hampir setiap negara lain di dunia sebagai satu kelebihan dalam perbincangan perdagangan antarabangsa, satu strategi yang mahu diubah oleh mahkamah perdagangan.

Keputusan mahkamah perdagangan tidak akan mengganggu sebarang rundingan dengan rakan-rakan dagang utama yang dijadualkan berlangsung dalam masa beberapa hari akan datang, kata Pentadbiran Presiden Trump.

Rakan-rakan dagang Amerika "datang bertemu kami dengan niat yang baik dan cuba menyelesaikan urus niaga sebelum tempoh penangguhan selama 90 hari berakhir", kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dalam wawancaranya bersama Fox News.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita