Skip to main content

Kewangan

Tarif dan konflik cetus ketidakstabilan dalam industri perkapalan: Agensi Perdagangan PBB

Anggaran Waktu Membaca:
Tarif dan konflik cetus ketidakstabilan dalam industri perkapalan: Agensi Perdagangan PBB

Gambar fail kapal-kapal kargo di terminal kontena di pelabuhan di Hamburg, Jerman, 19 Julai 2022. (Gambar: REUTERS/Cathrin Mueller/Gambar fail)

GENEVA: Industri perkapalan sedang mengalami ketidakstabilan yang signifikan di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan gangguan yang disebabkan oleh gelombang baharu tarif.

Demikian menurut laporan yang diterbitkan pada Rabu (24 Sep) oleh Agensi Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Disebabkan oleh persekitaran perdagangan global yang semakin rumit dan tidak menentu, aktiviti perindustrian yang suram pada ekonomi-ekonomi utama dan permintaan China yang lemah bagi komoditi pukal, UNCTAD memutuskan untuk menyemak semula ramalan pertumbuhan perdagangan maritim bagi tahun 2025.

Ia kini mengunjurkan jumlah perdagangan maritim secara keseluruhannya akan berkembang sebanyak 0.5 peratus setiap tahun, dengan perdagangan kontena berkembang pantas sedikit pada 1.4 peratus. Laporan itu turut menekankan bahawa perubahan dasar perdagangan, termasuk tarif baharu, mengganggu rantaian bekalan global.

Navigasi maritim di Laut Hitam menjadi rumit disebabkan oleh perang Rusia di Ukraine. Konflik di Timur Tengah meningkatkan kos perkapalan kerana kapal-kapal dilencongkan sekitar Cape of Good Hope berikutan gangguan di Laut Merah, menurut UNCTAD.

Selat Hormuz, laluan penting di mana 34 peratus eksport minyak dunia ditampung melalui jalan laut, juga berdepan risiko gangguan sejak beberapa bulan kebelakangan ini akibat ketegangan yang semakin memuncak antara Iran dengan Israel.

"Tidak pernah sejak penutupan Terusan Suez pada tahun 1967 kita menyaksikan gangguan berterusan seperti ini terhadap bekalan perdagangan global," kata Setiausaha Agung UNCTAD, Rebeca Grynspan, dalam ucapan pembukaan laporan itu.

Cik Grynspan menekankan bahawa pengangkutan maritim mesti secara asasnya memikirkan semula operasinya untuk menyokong rantaian bekalan yang rapuh dan ketidakstabilan geopolitik yang semakin meningkat.

Saban hari, perjalanan perdagangan maritim menjadi lebih panjang – meningkat daripada purata jarak 4,831 batu pada tahun 2018 kepada 5,245 batu pada 2024 – mencerminkan perubahan pada laluan perdagangan dan geopolitik, menurut UNCTAD.

"Jarak bukan lagi geografi; ia adalah geoekonomi," kata Cik Grynspan.

Dari 2026 hingga 2030, UNCTAD menjangkakan jumlah perdagangan melalui laut akan meningkat 2 peratus secara purata setiap tahun dan perdagangan kontena sebanyak 2.3 peratus.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita