Tarif Amerika boleh jejas pertumbuhan Indonesia sehingga 0.5 peratusan mata: Menteri Kewangan
Tarif yang dirancang Amerika Syarikat berpotensi mengurangkan pertumbuhan ekonomi Indonesia sebanyak 0.3 hingga 0.5 peratusan mata. Namun, penangguhan selama 90 hari dalam pelaksanaan tarif tersebut memberi ruang untuk membincangkan penyelesaian, kata Menteri Kewangan Indonesia kepada Reuters pada Khamis (10 Apr).

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, menyampaikan ucapan di satu acara di Jakarta, Indonesia, pada 8 April 2025. (Gambabr fail: AP/Dita Alangkara)
Cik Sri Mulyani Indrawati berkata Indonesia menyambut baik penggantungan selama 90 hari itu kerana ia memberi peluang untuk mengurangkan atau mengelakkan risiko negatif tarif terhadap pertumbuhan ekonomi.
“Ramalan keadaan semasa, sebelum penggantungan, menunjukkan bahawa potensi pertumbuhan kami mungkin merosot antara 0.3 peratus hingga 0.5 peratus daripada GDP (Hasil Kasar Dalam Negeri),” katanya dalam satu temu bual di luar mesyuarat menteri kewangan dan gabenor bank pusat ASEAN di Malaysia.
Indonesia menyasarkan pertumbuhan GDP sebanyak 5.2 peratus bagi tahun ini berbanding 5.03 peratus yang dicapai tahun lalu. Presiden Prabowo Subianto, bagaimanapun, mahu meningkatkan pertumbuhan tersebut kepada 8 peratus menjelang 2029.
Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menyatakan bahawa tarif Amerika Syarikat dijangka meninggalkan kesan terhad kepada ekonomi negara itu, yang lebih bergantung kepada pasaran domestik.
Amerika Syarikat merupakan destinasi eksport ketiga terbesar bagi Indonesia setakat tahun lalu, dengan nilai penghantaran mencecah AS$26.3 bilion (S$35.15 bilion), berdasarkan data pemerintah Indonesia.
Cik Sri Mulyani berkata Indonesia akan menggunakan tempoh penggantungan selama 90 hari tersebut untuk membentuk satu rangka kerjasama yang “dihormati bersama” oleh negara lain.
“Kita perlu terus berhati-hati … Perbelanjaan harus dilaksanakan dengan lebih cekap, disasarkan dengan baik dan berkesan dalam menyokong pertumbuhan dari segi dasar kewangan.”
Beliau turut mengatakan bahawa tekanan terhadap mata wang rupiah kebelakangan ini — yang berada pada paras terendah dalam sejarah — adalah bersifat sementara, sambil menambah bahawa pemerintah Indonesia kekal fokus terhadap penanda seperti hutang korporat dan nisbah hutang pemerintah terhadap KDNK.
Nilai Rupiah mengukuh sebanyak 0.83 peratus kepada 16,720 rupiah bagi setiap dolar Amerika pada Khamis setakat pukul 5.12 pagi GMT, menurut data LSEG, selepas mencatat paras terendah sepanjang masa selama dua hari berturut-turut sejak pasaran dibuka semula pada Selasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.