Tangkas buat penyesuaian; lengkapi pekerja dengan kemahiran baru akan pastikan S'pura kekal berdaya saing
Singapura mesti tangkas membuat penyesuaian dan mempersiapkan pekerjanya dengan kemahiran baru untuk terus kekal berdaya saing dalam ekonomi pasca COVID-19.
SINGAPURA: Singapura mesti tangkas membuat penyesuaian dan mempersiapkan pekerjanya dengan kemahiran baru untuk terus kekal berdaya saing dalam ekonomi pasca COVID-19.
Ini boleh dilakukan dengan menajamkan kepakaran sedia ada dan menimba kemahiran baru bukan sekadar untuk meningkatkan gaji atau keupayaan saja tetapi demi menjamin penakatan Singapura secara amnya.
Singapura perlu mengambil iktibar daripada pandemik COVID-19 untuk membuat penyesuaian supaya negara ini dan rakyatnya lebih bersedia mengharungi sebarang perubahan dan gangguan yang mungkin disebabkan oleh krisis ekonomi atau pandemik yang lebih memudaratkan.
Maka itu, generasi muda terutamanya digesa supaya menimba ilmu dalam sektor-sektor baru dan yang sedang berkembang maju seperti perubahan iklim dan 'green financing' atau pembiayaan mesra alam.
Kelestarian alam sekitar misalnya, akan menawarkan banyak peluang pekerjaan di Singapura dan juga Asia pada masa akan datang.
"Bagaimana kita menangani perubahan iklim itu memainkan peranan penting, bukan sahaja di Singapura tetapi juga di rantau Asia, termasuk banyak peluang pada masa akan datang. Bagaimana kita mengambil iktibar dari segi bekalan tenaga, bekalan kuasa, bagaimana kita menggunakan kenderaan tanpa pemandu. Pemerintah telah mengeluarkan visi untuk kecekapan tenaga atau kenderaan hijau," kata Encik Saktiandi Supaat, pakar ekonomi & strategi mata wang, Maybank Group.
"Bermakna ada peluang-peluang pekerjaan, peluang-peluang bisnes untuk diambil pada dekad akan datang."
Mengulas tentang pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan selepas pandemik COVID-19, Encik Saktiandi turut menarik perhatian bagaimana ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China dan Eropah boleh membawa kesan positif kepada ekonomi Asia dalam jangka sederhana dan panjang.
Pertumbuhan rantaian bekalan pula dijangka akan berpaling ke Asia dan ini diramal akan menawarkan peluang pekerjaan.
Encik Saktiandi menambah: "Pekerjaan-pekerjaan yang menerapkan logistik serta perdagangan runcit dan elektronik mungkin melihat peningkatan pertumbuhan ekonomi tahun depan kerana dari segi eksport masih ada peningkatan."
Awal minggu ini, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing mengumumkan bahawa industri logistik Singapura dikenal pasti sebagai sektor yang akan berkembang maju dengan keadaan COVID-19 menjadikannya sebagai sebuah hab logistik yang penting.
Lebih 2,100 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor logistik di bawah program SGUnited.
Sebagai salah satu pemain dalam industri logistik di Asia, Pengerusi ITL Corporation Zulkifli Baharudin mengalu-alukan langkah yang diambil pemerintah kerana sektor ini dijangka akan terus berkembang selepas pandemik COVID-19.
Encik Zulkifli bagaimanapun menekankan bahawa dengan kemajuan teknologi, sektor logistik memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi, matematik dan sains untuk membuat analisa, memproses data dan melakukan tugas kejuruteraan.
"Yang diperlukan adalah mereka di dalam organisasi yang saya fikir macam 'back end', membuat kerja pemprosesan, analisa, kecerdasan buatan dan sebagainya," kata Encik Zulkifli.
"Kemahiran seperti itu masih terbuka kepada mereka yang berminat untuk mempelajari ilmu baru melalui kursus-kursus yang ditawarkan di ITE dan politeknik-politeknik tempatan."
Sungguhpun demikian, Encik Zulkifli turut menyuarakan keprihatinannya memandangkan sebilangan pekerja Melayu/Islam yang bertugas dalam industri logistik terdiri daripada mereka yang kurang berpendidikan dan berisiko kehilangan mata pencarian.
"Peluang-peluang dan juga segala bantuan yang dipersiapkan pemerintah memang ada. Kalau dibandingkan dengan negara-negara jiran, Singapura memberi peluang yang lebih baik sekali.
Pencapaian mereka untuk peluang-peluang yang lebih besar ini tidak dapat dirasakan kalau mereka tidak mempersiapkan diri dengan kemahuan-kemahuan baru yang lebih teknikal dan sebagainya," kata beliau lagi.
Pertumbuhan dalam sektor logistik di rantau ini juga seharusnya dimanfaatkan oleh para pekerja Singapura, terutama sekali golongan muda.
Encik Zulkifli menambah: "Kita lihat anak-anak muda kita yang berkecimpung dalam industri ini sudah berpengalaman, sudah membiasakan diri dengan proses-proses bertaraf global. Jadi kalau mereka diberi peluang menjadi karyawan-karyawan di negara-negara jiran, mereka dapat memikul tanggungjawab yang lebih tinggi."
Encik Saktiandi Supaat dan Encik Zulkifli Baharuddin adalah antara barisan panelis yang akan membincangkan peluang perniagaan, pekerjaan dan latihan dalam ekonomi pasca COVID-19 dalam Webinar Ke Mana Kita anjuran BERITAmediacorp esok.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.