Skip to main content

Kewangan

Syarikat pengurusan sisa harus bina daya saing untuk tembusi pasaran luar: Chan Chun Sing

Syarikat-syarikat pengurusan sisa harus membina "keupayaan" yang "tidak ramai miliki" supaya mereka boleh meneroka pasaran luar negara, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Khamis (11 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Mar 2021 02:26PM Dikemas Kini : 11 Mar 2021 11:52PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat pengurusan sisa harus membina "keupayaan" yang "tidak ramai miliki" supaya mereka boleh meneroka pasaran luar negara, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Khamis (11 Mac).

"Sebaik sahaja kita sudah mencapai kelebihan daya saing, kita boleh berkembang dan melihat ke pasaran serantau," kata Encik Chan di satu wawancara secara maya semasa lawatannya ke 800 Super.

Encik Chan berkata penyedia pengurusan sisa adalah contoh baik sebuah syarikat yang mengambil jalan itu. Ia menyepadukan operasinya supaya kilang biojisim dan loji rawatan enapcemar, yang menghasilkan wap dan elektrik, berupaya membekalkan tenaga elektrik untuk kemudahan dobinya.

Pada Januari, 800 Super mengumumkan bahawa ia memperolehi kontrak 10 tahun pengurusan sisa dan pengangkutan bernilai AS$46 juta (S$61.7 juta) di Kemboja melalui satu usahasama.

"Sebaik sahaja kita mempunyai keupayaan itu sendiri... kita boleh berkembang ke bahagian-bahagian lain di rantau ini untuk menyediakan khidmat sedemikian," kata Encik Chan sambil menambah terdapat banyak potensi pertumbuhan dalam industri pengurusan sisa kerana keprihatinan meningkat mengenai kemampanan sekitaran.

Sektor khidmat sekitaran Singapura mempunyai sekitar 2,100 syarikat dan 80,000 pekerja, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan. Industri pengurusan sisa merupakan sebahagian daripada sektor itu bersama penyedia khidmat pembersihan dan pengurusan haiwan perosak.

Berhubung usaha menarik para pekerja ke sektor itu, Encik Chan berkata perkara pertama yang perlu ditangani adalah tanggapan orang ramai terhadapnya. Loji pengurusan sisa moden katanya, lebih berteknologi tinggi dan tidak berbahaya dan kotor seperti yang dianggap ramai.

Para jurutera lebih muda juga mungkin tertarik kepada cabaran membina loji jimat tenaga yang mana satu bahagian operasi membekalkan elektrik kepada satu lagi bahagian, katanya.

Sebaik sahaja syarikat-syarikat itu menembusi pasaran antarabangsa, mereka akan dapat menarik lebih ramai pekerja yang mereka perlukan, katanya.

"Jika kami boleh membantu syarikat-syarikat kami untuk meluaskan kehadiran mereka di rantau ini, dan mereka mengendalikan operasi berbeza di bahagian-bahagian berlainan di rantau ini, dan apabila mereka menghasilkan jumlah besar, mereka juga berupaya menarik pekerja dari bahagian berlainan di rantau ini," katanya.

"Anda juga membantu Singapura untuk menarik jurutera-jurutera terbaik dari seluruh rantau ini ... untuk datang ke sini dan melengkapi kumpulan bakat kami dalam mengembangkan industri ini."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita