Syarikat pembuat kereta Fiat Chrysler, PSA sah bergabung jadi Stellantis
Fiat Chrysler dan PSA akan menyempurnakan penggabungan mereka yang telah lama dinanti-nanti pada Sabtu (16 Jan) untuk mewujudkan Stellantis, kumpulan pengeluar kereta keempat terbesar di dunia.
Lambang syarikat Stellantis (Gambar: Ihsan Communication FCA /menerusi REUTERS)
MILAN: Fiat Chrysler dan PSA akan menyempurnakan penggabungan mereka yang telah lama dinanti-nanti pada Sabtu (16 Jan) untuk mewujudkan Stellantis, kumpulan pengeluar kereta keempat terbesar di dunia dengan sumber kewangan untuk membiayai peralihan ke kenderaan elektrik bagi mencabar saingan lebih besar, Toyota dan Volkswagen.
Ia mengambil masa lebih setahun untuk pembuat kereta Itali-Amerika dan Perancis itu memuktamadkan perjanjian AS$52 bilion (S$69.15 bilion) tersebut, ketika ekonomi sejagat terjejas oleh pandemik COVID-19. Kedua-dua syarikat itu pertama kali mengumumkan rancangan untuk bergabung pada Oktober 2019, untuk mewujudkan kumpulan dengan penjualan tahunan sekitar 8.1 juta kenderaan.
Saham di Stellantis, yang akan diketuai oleh Ketua Eksekutif PSA sekarang Carlos Tavares, akan mula diperdagangkan di Milan dan Paris pada Isnin, dan di New York pada Selasa.
Kini para penganalisis dan pelabur sedang mengalihkan tumpuan mereka kepada bagaimana Encik Tavares merancang untuk menangani cabaran besar yang dihadapi oleh kumpulan itu - daripada menangani keupayaan pengeluaran berlebihan hingga prestasi yang hambar di China.
FCA dan PSA telah menyatakan Stellantis boleh memotong kos lebih 5 bilion euro (S$8.03 bilion)setahun tanpa penutupan kilang, dan para pelabur akan berminat untuk mendapatkan lebih banyak perincian mengenai cara syarikat itu akan melakukannya.
Marco Santino, rakan kongsi firma perunding Oliver Wyman, berkata beliau menjangkakan Encik Tavares untuk mendedahkan rancangan tindakannya tidak lama lagi, tanpa memberikan terlalu banyak butiran pada awalnya.
Seperti semua pembuat kenderaan global, Stellantis perlu melabur berbilion dolar pada tahun-tahun mendatang untuk mengalihkan rangkaian kenderaannya bagi era elektrik.
Namun ia tetap mempunyai tugas berat, termasuk menghidupkan semula kelakonan lemah di China, mengukuhkan empayar globalnya yang besar dan menangani keupayaan pengeluaran melebihi permintaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.