Syarikat pembekal Dyson ATA tegas dakwaan buruh paksa belum muktamad
Syarikat Malaysia ATA IMS Bhd menyatakan pada Isnin (29 Nov) bahawa penemuan dakwaan buruh paksa dalam audit buruh baru-baru ini oleh pelanggan terbesarnya Dyson adalah tidak muktamad, dan kesan daripada kontrak Dyson yang dibatalkan adalah besar.
Gambar fail sebuah kedai Dyson di California, Amerika Syarikat (Gambar: Rachel Murray/Getty Images via AFP)
KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia ATA IMS Bhd menyatakan pada Isnin (29 Nov) bahawa penemuan dakwaan buruh paksa dalam audit buruh baru-baru ini oleh pelanggan terbesarnya Dyson adalah tidak muktamad, dan kesan daripada kontrak Dyson yang dibatalkan adalah besar.
Pengeluar peralatan rumah berteknologi tinggi itu memberitahu Reuters minggu lalu ia akan menamatkan kontraknya dengan ATA, yang memperoleh 80 peratus daripada pendapatannya daripada firma itu, selepas audit terhadap amalan buruh syarikat itu dan dakwaan oleh seorang pemberi maklumat.
Dyson tidak mendedahkan dapatan audit berkenaan tetapi ATA, yang membuat alat ganti bagi pembersih vakum dan udara Dyson, berkata audit mendapati dakwaan buruh paksa, yang dipandang serius oleh syarikat tersebut.
Pada Isnin, ATA menyatakan bahawa ia hanya diberikan ringkasan audit dan juruaudit menyatakan mereka tidak dapat "menentukan dengan tegas sama ada semua dakwaan adalah benar atau palsu".
Ringkasan audit mendakwa keadaan kehidupan yang daif, isu berhubung tiada bayaran yuran diberi bagi pengambilan pekerja hijrahan, amalan mengambil pekerja tidak beretika oleh ejen, mengambil pekerja tidak tetap, bimbang dikenakan tindakan balas, elaun dan bonus tidak dibayar semasa COVID-19 pada 2020 dan dipotong gaji yang menyalahi undang-undang, menurut ATA.
"Syarikat ini menekankan bahawa ia memandang serius dakwaan buruh paksa dan telah mendapatkan khidmat penasihat profesional untuk membantu syarikat menyemak dan mengesahkan penemuan audit," tegas ATA.
Menurut ATA ia menjangkakan pendapatannya menjunam 30 peratus bagi tahun kewangan 2022 dan sebanyak 40 peratus pada 2023 berikutan pembatalan kontrak Dyson.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.