Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Syarikat Melayu S'pura ini hasilkan 80,000 cucuk sate sehari, sudah jual lebih 5 juta cucuk sate ke 6 negara

Sate sememangnya cukup sinonim dengan Singapura dan semua kaum di sini tahu tentang makanan Melayu ini. Namun tahukah anda, Jumain Sataysfaction adalah salah satu syarikat sate paling besar di Singapura?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sate sememangnya cukup sinonim dengan Singapura dan semua kaum di sini tahu tentang makanan Melayu ini. Namun tahukah anda, Jumain Sataysfaction adalah salah satu syarikat sate paling besar di Singapura?

Syarikat itu menghasilkan sekitar 80,000 cucuk sate sehari di kilangnya yang seluas 930 meter persegi di Defu Lane.

Jadi bayangkan, berapa besar permintaan bagi sate mereka di negara ini. Ia boleh mencecah lebih 20 juta cucuk sate setahun!

Pendeknya, dalam dunia sate, syarikat ini - yang sudah menembusi pasaran antarabangsa dengan sekurang-kurangnya 5 juta cucuk sate sudahpun dieksportnya - mengibarkan bendera Singapura di pentas makanan antarabangsa.

Sempena Hari Kebangsaan, BERITAmediacorp menyorot kisah kejayaan perniagaan keluarga berusia lebih 100 tahun itu dalam siri khas 'Ciptaan/Buatan Singapura', sempena bulan sambutan Hari Kebangsaan ini.

SEKILAS SEJARAH JUMAIN SATAYSFACTION

Jumain Sataysfaction mula membekalkan sate kepada para pelanggannya pada skala besar sejak 1994. Namun sejarah perniagaan sate yang dijalankannya bermula seawal tahun 1910.

"Resepinya daripada Arwah Yayie yang datang dari Solo (Indonesia) ke Singapura. (Di sini), beliau berniaga sate. Dahulu beliau tinggal di Kampong Gelam - Kampung Kaji," cerita Pengarah Urusan Jumain Sataysfaction, Cik Samsiah Suliman, yang juga merupakan peniaga sate generasi ketiga keluarga tersebut.

"Pada tahun 1994, mak mentua tidak mahu berniaga sate lagi. Dah penat. Jadi saya cakap, ia resipi yang bagus. Sayangkan, tidak ada orang yang nak teruskan. Kita mula (buka kilang sebesar) 600 kaki persegi di Ubi," tambahnya.

Ketika baru-baru mula berniaga, Jumain Sataysfaction membekalkan sate ke hotel-hotel, restoran-restoran, katerer dan juga para pembekal keperluan kapal. Kemudian satenya dijual pula di pasar raya-pasar raya.

SYARIKAT PERTAMA GUNA MESIN CUCUK SATE

Syarikat itu kemudian mengorak langkah untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan menjalankan kajian dan pengembangan (R&D), serta membuat pelaburan untuk menggunakan automasi atau mesin untuk mencucuk sate di kilangnya. Bermakna, sate tidak lagi dicucuk dengan tangan.

Menariknya, Jumain Sataysfactionlah syarikat sate pertama di Singapura untuk menggunakan mesin bagi mencucuk sate pada 2001.

Dek pengeluaran dan penjualannya yang laris, Jumain Sataysfaction mengambil keputusan berpindah ke kilang lebih besar lagi pada 2006. Dari situlah, syarikat itu mencuba nasib untuk menembusi pasaran global pula.

"Apabila kita berpindah, kita cakap takkan nak bekal kepada pasaran tempatan sahaja. Kita ada kemudahannya, ada peralatannya. Jadi kita perlu memperluaskan perniagaan ke luar negara. Sebab itu kita dapatkan pensijilan HACCP. Ini untuk mempermudahkan segala urusan memandangkan ia piawai keselamatan makanan antarabangsa," ujar Cik Samsiah.

Sate Jumain Sataysfaction. (Gambar: BERITAmediacorp) 

EKSPORT SATE KE 6 NEGARA

Sebagai permulaan, Jumain Sataysfaction memperkenalkan sate Singapura kepada pelanggan antarabangsa di pameran makanan di Dubai.

"Saya lihat ada potensi di sana. 'Gulfood' satu pameran di mana ia dihadiri ramai orang luar negeri. Pada 2008, Jumain Sataysfaction mula menyertai pameran itu," kata Cik Samsiah.

"Pelanggan antarabangsa macam terperanjat. Mereka memberi reaksi seperti, ini daging tetapi mengapa ia manis. Jadi mula-mula kita ajar dan terangkan mereka apa ini sate."

(Gambar fail: Jumain Sataysfaction)

Pada 2009, eksport Jumain Sataysfaction bermula dengan 10 hingga 20 karton sahaja. Kini ia mengeksport kira-kira 500,000 cucuk sate setiap tahun ke enam negara, iaitu Myanmar, Hong Kong dan empat negara di Timur Tengah termasuk Amiriah Arab Bersatu dan Oman.

Jadi siapakah antara 'pelanggan' terbesar Jumain Sataysfaction?

Cik Samsiah menjawab bahawa Timur Tengah adalah pasaran terbesarnya diikuti oleh Hong Kong.

"Disneyland Hong Kong. Disneyland mempunyai dua restoran yang menyajikan makanan halal. Jadi mereka jual sate kami di sana," jawab Cik Samsiah.

RANCANGAN LANJUT JUMAIN SATAYSFACTION

Yang pasti, Cik Samsiah kini mengintai peluang untuk mengeksport sate Jumain Sataysfaction ke lebih banyak negara lain. Mentelah lagi, dua bulan dari sekarang syarikatnya akan berpindah ke kilang lebih besar yang seluas 1,200 meter persegi.

"Sebenarnya sebelum COVID, sudah hampirlah (eksport ke negara lain). Tapi disebabkan pandemik ini, kita 'berehat' dahulu. Insya Allah, lepas kita berpindah, kita teruskan lagi," jelas Cik Samsiah sambil menambah bahawa kos untuk mengeksportnya sekarang ini cukup mahal - boleh mencecah S$15,000 bagi satu kontena pendingin.

Meskipun demikian, melihat kembali pelbagai kejayaan yang dicapai Jumain Sataysfaction, Cik Samsiah boleh berbangga.

"Sebagai orang Melayu, saya rasa banggalah kita dapat memperkenalkan hidangan Melayu ke luar negara. Orang mungkin cakap sate ini hanya produk daging tetapi bagi kita sate ini kita mulakan, orang Melayu," ujarnya.

Suami Cik Samsiah, Encik Jefri Jumain.

Lebih mengagumkan lagi, perniagaan sate milik keluarganya itu sudah bertahan lebih 110 tahun. Semestinya ini satu-satunya perniagaan sate di Singapura atau mungkin juga di dunia yang boleh bertahan selama itu.

"Saya generasi ketiga dan saya dapat teruskan ini kepada anak saya, generasi keempat. Ini makanan Melayu tradisional - legasi daripada Arwah Yayie. Kita dapat teruskan bukan sahaja di Singapura, tetapi kita dapat ke luar negara. Bagi saya itu cukup membanggakan. Kita punya 'tender satay' (sate lembut) juga sudah menang dua anugerah - di Singapura dan Brazil."

Jumain Sataysfaction, yang mengeluarkan lebih 10 jenis sate - termasuk sate cendawan dan itik - seterusnya dalam proses meneroka produk-produk sate yang lebih kreatif.  

-BERITAmediacorp/aq

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan