Skip to main content

Kewangan

Syarikat ladang Indonesia labur AS$500 juta bagi tingkatkan pengeluaran beras

Syarikat ladang milik pemerintah Indonesia yang baru dilancarkan merancang untuk melabur 8 trilion rupiah (S$618 juta) sehingga hujung tahun depan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dengan membeli lebih banyak peralatan ladang moden dan menambah kilang beras, kata ketua eksekutifnya pada Selasa (30 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat ladang Indonesia labur AS$500 juta bagi tingkatkan pengeluaran beras

Para petani sedang menanam jagung di sawah Kunjang, Kediri, Jawa Timur, Indonesia, pada 10 April 2023. (Gambar: Antara Foto/Muhammad Mada melalui REUTERS)

JAKARTA: Syarikat ladang milik pemerintah Indonesia yang baru dilancarkan merancang untuk melabur 8 trilion rupiah (S$618 juta) sehingga hujung tahun depan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dengan membeli lebih banyak peralatan ladang moden dan menambah kilang beras, kata ketua eksekutifnya pada Selasa (30 Sep).

Dilancarkan pada Mei lalu dengan tujuan meningkatkan pengeluaran beras bagi mencapai cita-cita Presiden Prabowo Subianto agar Indonesia boleh menampung sendiri pengeluaran beras, Agrinas Pangan Nusantara sebelum ini adalah sebuauh firma perkhidmatan pembinaan milik pemerintah.

Menjelang akhir 2026, syarikat itu menetapkan sasaran untuk membina 20 "pusat pengeluaran makanan" di seluruh negara, di mana setiap satu dilengkapi dengan mesin pengering bijirin, kilang beras, kilangan makanan ternakan dan struktur bagi simpanan barang, kata Ketua Eksekutif Joao Angelo De Sousa Mota kepada Reuters.

Bagi mencapai sasaran tersebut, syarikat itu sama ada perlu bekerjasama dengan para petani, menyewakan peralatan kepada mereka atau menguruskan ladang sendiri, kata Mota, sambil menambah ia akan menerima 225,000 hektar tanah dari kementerian pertanian sebelum hujung tahun.

"Apabila kami melabur menggunakan wang negara, kita perlu menghitung bagaimana untuk memastikan sistem ini berfungsi dengan berjaya, tambah Encik mota.

Apabila ditanya tentang jumlah pelaburan itu, Encik Mota menjawab," Lapan trilion rupiah."

Syarikat tersebut berharap dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran berasnya kepada 4 juta tan metrik setahun, kata Encik Mota, yang merupakan sahabat lama Encik Prabowo.

Ini berbanding dengan jumlah pengeluaran keseluruhan negara sebanyak 30.6 juta tan pada 2024.

Ia sudah mula membangunkan sebuah pusat pengeluaran bernilai 400 bilion rupiah (S$31.02 juta) di atas tanah seluas 12,000 hektar (sekitar 30,000 ekar) milik tentera di Baturaja, Sumatra Selatan, kata Encik Mota.

Di kawasan tersebut, ia akan menanam padi dan jagung, menggunakan teknologi pertanian moden yang digunakan di banyak negara lain tetapi jarang digunakan di Indonesia, tambah beliau.

Peralatan tersebut termasuk jentera bersaiz besar dan direka khas yang ditempah daripada Kumpulan Mahindra India, yang lebih sesuai dan cekap untuk kegunaan di tanah Indonesia, selain penggunaan dron untuk penyemburan baja dan peralatan pemantauan satelit, kata beliau.

Encik Mota berkata Agrinas Pangan akan membantu meningkatkan pengeluaran pertanian negara dengan menggantikan kerja-kerja manual dengan penggunaan jentera.

“Petani di Eropah dan Amerika makmur kerana seisi keluarga mampu menguruskan ribuan hektar tanah,” kata beliau.

Syarikat itu sudah menerima suntikan modal sekitar 700 bilion rupiah (S$54.19 juta) daripada syarikat induknya, dana kekayaan berdaulat Danantara Indonesia, dan merancang untuk mendapatkan pinjaman bank bagi membiayai baki perbelanjaan modal, kata Encik Mota.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita