Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Syarikat induk Shopee, Sea, kembangkan pelaburan di M'sia; wujudkan 2,000 pekerjaan

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat induk Shopee, Sea, kembangkan pelaburan di M'sia; wujudkan 2,000 pekerjaan

(Gambar: Tengku Zafrul/Facebook)

KUALA LUMPUR: Sea Ltd, sebuah syarikat internet pengguna global Singapura yang terkemuka dan pemilik platform e-dagang, Shopee, komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia serta mewujudkan lebih 2,000 pekerjaan dalam proses itu.

Shopee merupakan platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), keputusan tersebut dimaklumkan kepada Menteri MITI Zafrul Abdul Aziz semasa lawatan rasminya ke ibu pejabat syarikat itu di Singapura pada Ahad (29 Jan). 

Semasa lawatan itu, Sea Ltd memperincikan pelan projek pembesarannya di Malaysia, melibatkan penyelarasan dan penetapan 'cloud services' atau khidmat berdasarkan awan, penyimpanan dan pemprosesan data, serta gudang logistik untuk perkhidmatan e-dagang.

“Projek khidmat berdasarkan awan Sea Ltd akan dibangunkan di kemudahan tiga tingkat dilengkapi dengan teknologi hijau di Kulai, Johor, dengan 24 dewan data, bilik mekanikal dan elektrik, ruang pejabat serta kemudahan penyimpanan dan tempat letak kereta yang dijangka siap menjelang suku pertama 2024,” menurut MITI.

Selain itu, Shopee juga akan mengembangkan operasinya di Malaysia melalui gudang mega baru yang sedang dibina. Ia merupakan kemudahan logistik berteknologi tinggi dan bersepadu yang dilengkapi dengan kemudahan prasarana awan seluas 1.4 juta kaki persegi di Bukit Raja, Klang.

Encik Zafrul berkata keputusan Sea Ltd untuk mengembangkan strategi pelaburannya di Malaysia jelas mencerminkan keyakinan syarikat terhadap prospek serta kestabilan operasi, dasar dan dasar kerajaan dan landskap perniagaan di Malaysia.

“Perancangan pelaburan langsung asing (FDI) mereka di dalam pengkomputeran awan dan gudang berteknologi tinggi bakal mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan baru untuk rakyat kita, yang juga akan membantu dalam meningkatkan kemahiran dan produktiviti, serta daya saing negara dalam jangka panjang.

“Kami juga menjangkakan kesan limpahan yang positif untuk perusahaan kecil dan sederhana, korporat dan masyarakat setempat. Manfaat ini termasuk dari segi penyumberan tempatan, pembangunan vendor dan pengukuhan ekosistem perindustrian tempatan khususnya dalam sektor digital,” katanya.

Encik Zafrul menambah MITI dan agensi berkaitan akan terus mempertingkatkan ekosistem perniagaan negara ke arah memastikan Malaysia sentiasa dilihat sebagai sebuah destinasi mesra perniagaan, mesra pelaburan dan mesra perdagangan.

Sementara itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sea Ye Gang berkata ia adalah satu perkembangan penting bukan sahaja untuk kumpulan itu, tetapi juga bagi ekosistem digital tempatan.

“Kami berterima kasih di atas sokongan Menteri MITI dan pasukannya dalam pelan pengembangan dan strategi perniagaan kami,” katanya.

Misi pelaburan tiga hari menteri itu ke Singapura adalah sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Singapura pada Isnin (30 Jan). 

Semasa misi pelaburan itu, Encik Zafrul juga akan mengadakan pertemuan perniagaan dengan Kumpulan Yondr, peneraju global pusat data dan INSEACT, sebuah syarikat protein alternatif yang berpangkalan di Singapura, yang menghasilkan protein mampan bagi akuakultur (ternakan udang).

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan