Skip to main content

Kewangan

Syarikat binaan Greatearth yang tarik diri dari 5 projek BTO kini lingkup

Sebuah syarikat binaan yang menarik diri dari lima projek Bina Ikut Tempahan (BTO) bulan lalu atas sebab masalah kewangan kini menggulung tikar.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat binaan Greatearth yang tarik diri dari 5 projek BTO kini lingkup

Pejabat Greatearth di Ang Mo Kio. (Gambar: Neo Rong Wei)

Diterbitkan : 03 Sep 2021 07:33PM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 07:36PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat binaan yang menarik diri dari lima projek Bina Ikut Tempahan (BTO) bulan lalu atas sebab masalah kewangan kini menggulung tikar.

Greatearth Corporation dan entiti berkaitan Greatearth Construction menerbitkan iklan di akhbar pada Jumaat (3 Sep) yang mengumumkan bahawa pihaknya tidak dapat meneruskan perniagaan.

Syarikat khidmat profesional PwC telah dilantik sebagai penyelesai hutang-piutang sementara bagi firma-firma tersebut.

Satu mesyuarat dengan pemiutang kedua-dua firma itu telah dijadualkan pada 27 September.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan bulan lalu bahawa pembeli lima projek BTO akan menunggu lebih lama bagi rumah mereka setelah dua kontraktor itu tidak dapat meneruskan projek-projeknya atas sebab masalah kewangan.

Projek-projek yang terjejas adalah:

  • Senja Ridges di Bukit Panjang
  • Senja Heights di Bukit Panjang
  • Sky Vista@Bukit Batok
  • Marsiling Grove
  • West Coast Parkview

Lima projek itu melibatkan 2,982 unit dalam 13 blok kesemuanya.

HDB telah menyatakan bahawa kontraktor-kontraktor itu mengalami masalah kewangan meskipun setelah diberi bantuan pemerintah sebelum itu, seperti pembayaran awal.

Kontraktor-kontraktor yang dihubungi Mediacorp menyatakan bahawa penutupan Greatearth bererti wang yang masih belum dilunaskan firma itu kepada mereka mungkin hangus.

Seorang kontraktor berkata Greatearth masih belum lunaskan sekitar S$80,000 bagi projek-projek yang disiapkan oleh firmanya.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa sejak pandemik COVID-19 melanda Singapura, beberapa syarikat binaan masih mengalami kerugian bagi setiap projek yang mereka jalankan.

Keadaan diburukkan dengan masalah kekurangan tenaga kerja yang teruk dan kos bahan yang tinggi, menyebabkan banyak kontraktor terikat untuk selesaikan projek "mati", meskipun sedar bahawa mereka akan mengalami kerugian besar pada akhirnya.

Pengambilan pekerja daripada syarikat lain juga menjadi masalah serius dalam industri itu, kata para kontraktor.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita