Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Syarikat anak Melayu S'pura, Ashes Burnnit dan Padi@Bussorah buka kedai di New York

Kedai burger, Ashes Burnnit dan restoran nasi padang, Padi@Bussorah  mengembangkan sayap dengan membuka cawangan di bandar New York, Amerika Syarikat pada pertengahan Julai ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kedai burger, Ashes Burnnit dan restoran nasi padang, Padi@Bussorah  mengembangkan sayap dengan membuka cawangan di bandar New York, Amerika Syarikat pada pertengahan Julai ini.

Kedua-duanya di antara 18 penjaja yang akan membuka kedai di sebuah ruang penjaja bernama 'Urban Hawker' yang diusahakan Makansutra dan syarikat AS Urban Space.

Ruang yang terletak di Manhattan, New York berhampiran Times Square itu dijadual dibuka kepada umum pada 19 Julai ini.

ASHES BURNNIT NYC TAWARKAN ROTI JOHN 'SUBWAY'

Peluang untuk membuka cawangan di New York adalah satu peluang keemasan bagi Ashes Burnnit yang memang ada ura-ura untuk meneroka pasaran antarabangsa.

(Gambar: Nur Hazimah Anuar)

"Alhamdulillah pada Disember 2021, Makansutra datang ke gerai kami di Pusat Makanan Golden Mile untuk pelawa kita pergi ke New York. 

"Peluang ini untuk saya peluang paling besar dalam dunia, dalam hidup saya. Bagi kita sebagai usahawan muda di Singapura, kita nak tunjukkan bahawa walaupun kita hanya sebuah gerai kecil di pusat penjaja, tidak kira di mana sahaja, anda boleh ke peringkat antarabangsa," kata Lee Syafiq, pengasas Ashes Burnnit kepada BERITAmediacorp.

Mereka kini mempunyai empat cawangan di pusat-pusat penjaja di serata Singapura, dengan cawangan yang pertama di Pusat Makanan Golden Mile.

Kedai burger itu cukup terkenal dengan menu burger roti arang yang digandingkan dengan daging 'brisket', daging dan keju, cendawan 'truffle' atau ayam panggang.

(Gambar: Instagram/ashessgburnnit)

Walau bagaimanapun cawangannya di New York, Ashes Burnnit NYC akan hanya menjual burger roti biasa kerana penggunaan 'activated charcoal' atau arang aktif dalam makanan dilarang di New York.

Ashes Burnnit NYC juga akan memperkenalkan roti john ala roti 'subway' demi memenuhi citarasa penduduk di sana.

(Gambar ihsan: Encik Lee Syafiq)

Menurut Encik Lee Syafiq, sandwic 'subway' merupakan antara makanan harian penduduk di New York.

"Roti john adalah makanan 'staple' kita. Hari-hari kita boleh makan roti john. Bagi mereka ia adalah sandwic biasa atau sandwic 'subway'. Jadi kita ingin tawarkan versi sandwic 'subway' tempatan di bandar New York," kata Encik Lee Syafiq.

Selain itu, Encik Lee Syafiq juga mahu memperkenalkan pelbagai cita rasa Singapura menerusi burger-burger Ashes Burnnit NYC.

Ini seperti menggunakan cili hijau dan juga daging sate di dalam burger.

"Ramai orang pun tanya saya, kenapa New York? Kenapa nak buat burger di sana? Saya beritahu mereka kalau burger di sana terkenal, dan kita sendiri tidak boleh buat jualan burger dan kita tidak berjaya, ini bermakna burger kita tidak sedap," seloroh Encik Lee Syafiq.

PADI@NYC KEDAI NASI PADANG HALAL PERTAMA DI MANHATTAN

Satu lagi syarikat anak Melayu yang akan menyertai ruang penjaja baru di New York itu adalah Padi@Bussorah.

Apabila dilancarkan, ia akan menjadi gerai nasi padang Halal yang pertama di Manhattan, New York.

Berbeza dengan konsep perniagaan di Singapura, restoran Padi@NYC akan menjual nasi padang secara menu set 'combo'.

(Gambar ihsan: Encik Sulaiman Abdul Rahman)

"Saya melakarkan menu set 'combo', jadi agak mudah bagi penduduk di New York seperti mereka yang baru nak kenal masakan Melayu kita.

"Jadi daripada mereka nak tunjuk-tunjuk hidangan seperti di Singapura, jadi apa yang kita buat adalah untuk perkenalkan menu 'combo'," kata Pengarah Operasi Padi@NYC, Sulaiman Abdul Rahman.

Ini juga bagi memudahkan mereka yang kesuntukan masa pada waktu makan tengah hari, kata Encik Sulaiman lanjut.

Set-set menu 'combo' yang ditawarkan adalah seperti 'rendang combo' yang terdiri daripada nasi putih, daging rendang, bagedil dan pilihan sayuran harian.

Beraneka masakan Melayu seperti mee rebus, lontong, gado gado dan sate turut dijual.

(Gambar: Encik Sulaiman Abdul Rahman)

Encik Sulaiman berkata selepas tujuh tahun bertapak di Singapura, restoran nasi padang itu memang berhasrat untuk membuka cawangan di luar negara.

"Bandar New York adalah destinasi pertama kita kerana ia dianggap 'melting pot' bagi dunia masakan jadi kita agak berbesar hati dapat bermula di New York," kata Encik Sulaiman.

Selepas New York, restoran nasi padang itu merancang untuk berkembang ke Los Angeles pada tahun depan pula.

"Insya Allah kalau tidak ada apa-apa aral, tahun depan kita sudah berminat untuk mengembangkan lagi perniagaan ke Los Angeles dan dinamakan Padi@LA," dedah Encik Sulaiman kepada BERITAmediacorp.

Selain Padi@NYC, Encik Sulaiman juga akan mengendalikan gerai 'Mamak's Corner' di Urban Hawker yang turut berada di bawah naungan syarikat Padi@Bussorah.

Gerai itu akan menjual pelbagai masakan India seperti chapati, beriani ayam dan kambing, roti prata serta thosai.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan