Skip to main content

Kewangan

Syarikat anak Melayu SG ini terajui pelaburan S$100 juta projek tenaga bersih di Uzbekistan

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat anak Melayu SG ini terajui pelaburan S$100 juta projek tenaga bersih di Uzbekistan

Pengerusi Eksekutif Enercon Asia, Azhar Othman (kanan). (Gambar: Facebook/Хайрулло Бозаров)

BERITAmediacorp: Syarikat anak Melayu Singapura, Enercon Asia, bakal membangunkan sebuah loji jana kuasa dan sistem tenaga suria di atas bumbung bangunan, dengan menerajui pelaburan bernilai S$100 juta di Uzbekistan.

Enercon Asia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Tenaga Uzbekistan semasa Forum Perniagaan Uzbekistan-Singapura anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Kedutaan Republik Uzbekistan di sini pada 16 Januari.

Enercon Asia merupakan satu-satunya syarikat Melayu yang memeterai perjanjian berkait sektor tenaga, khususnya tenaga bersih. Terdapat lagi 17 MoU lain yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat tempatan lain dalam pelbagai bidang termasuk agrikultur dan pendidikan.

Pengerusi Eksekutif Enercon Asia, Azhar Othman, memberitahu BERITAmediacorp perjanjian itu bermakna syarikat beliau bakal menyediakan 100 megawatt tenaga bersih di Uzbekistan - iaitu 50 megawatt tenaga bersih dan lagi 50 megawatt sistem tenaga suria di atas bumbung bangunan untuk dijual kepada syarikat-syarikat yang menggunakan tenaga di negara itu.

Sebagai contoh, 100 megawatt boleh menyalurkan tenaga kepada 26,000 flat empat bilik HDB.

BAGAIMANA ‘PANCING’ KERJASAMA DENGAN UZBEKISTAN?

Pada Oktober 2022, Encik Azhar mengunjungi Tashkent, ibu kota Uzbekistan untuk meneroka peluang-peluang niaga di negara itu. Beliau kemudian dimaklumkan bahawa delegasi Uzbekistan akan mengadakan lawatan ke Singapura dan diminta oleh Duta Uzbekistan di Singapura untuk berkongsi bagaimana syarikatnya boleh membantu negara itu dari segi bekalan tenaga.

“Memandangkan saya komited untuk membantu mereka, saya bertemu dengan delegasi Uzbekistan tersebut dan mengusulkan produk-produk serta huraian-huraian tenaga kami kepada mereka. Saya rasa mereka bertemu dengan beberapa syarikat lain tetapi mereka suka dengan syarikat kami disebabkan cadangan yang saya tawarkan kepada mereka,” kongsi Encik Azhar.

Menurutnya lagi, syarikat beliau mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk mengawal bekalan tenaga agar stabil. Lantaran itu Enercon Asia boleh mereka loji jana kuasa dan menjadikannya lebih menarik berbanding syarikat-syarikat sistem tenaga suria yang lain.

“Syarikat-syarikat tenaga suria ini kadangkala adalah pedagang. Mereka beli tenaga panel suria dan kemudian jual. Ia bukan direka sendiri. Syarikat saya reka sendiri. Syarikat saya menyediakan penyepaduan, tidak kira jenis tenaga yang dihubungkan. Jadi, bila saya jelaskan apa yang syarikat saya boleh lakukan, mereka (Uzbekistan) tertarik,” kata Encik Azhar kepada BERITAmediacorp.

Tenaga bersih yang disediakan di Uzbekistan lazimnya akan dibeli oleh pemerintah negara itu dan kemudian dijual semula kepada bandar-bandar, industri dan sebagainya.

PENGALAMAN "BELUM PERNAH BERLAKU SEUMUR HIDUP"

Pada 25 Februari hingga 3 Mac yang lalu, Encik Azhar dan seorang lagi wakil syarikatnya kembali ke Uzbekistan untuk melawat semua lokasi, di mana sistem tenaga bersih akan ditempatkan.

Related article image
Encik Azhar dalam salah satu mesyuarat di Uzbekistan. (Gambar: Facebook: Ташкентский металлургический завод)
Encik Azhar menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang “belum pernah berlaku seumur hidup” beliau.

“Oleh kerana saya sudah tandatangani MoU, mereka (Uzbekistan) siapkan semua perancangan lawatan saya untuk jumpa semua bidang industri yang gunakan tenaga. Saya sudah kumpulkan maklumat dan data.

“Semasa di sana, kami ada dalam 30 mesyuarat! Tak pernah seumur hidup saya duduk dalam mesyuarat sampai 30 dalam seminggu. Mereka memerlukan tenaga bersih dengan segera kerana ini mandat daripada Presiden. Jadi mereka atur mesyuarat seperti itu,” cerita Encik Azhar.
Related article image
Pengerusi Eksekutif Enercon Asia, Azhar Othman (kanan). (Gambar: Facebook/Хайрулло Бозаров)

Tempoh dari tahap rundingan awal sehingga MoU tenaga itu ditandatangani mengambil masa antara satu hingga tiga bulan, dedah Encik Azhar.

Malah, Uzbekistan pada mulanya berharap Enercon Asia boleh memulakan kerja-kerja pembangunan loji tersebut seawal bulan ini.

“Ini sangat cepat. Selepas kami tandatangani MoU, dalam sebulan saya terbang ke Uzbekistan jadi mereka tahu kami serius. Kemudian mereka minta kami mulakan kerja-kerja pada Mac. Ia terlalu pantas. Saya perlu memastikan semuanya dijalankan dengan betul. Saya ada peguam yang perlu meneliti semuanya. Tapi sekurang-kurangnya kami tahu projek yang Uzbekistan mahukan itu memang betul dan kami ada kapasiti dan keupayaannya,” kata beliau.

Related article image
Encik Azhar (dua dari kiri) semasa melawat salah satu lokasi di Uzbekistan. (Gambar: Facebook/Ташкентский металлургический завод)

Kerjasama tenaga bersih dengan Uzbekistan ini bermakna “ia adalah permulaan bagi lebih banyak loji jana kuasa tenaga bersih” di negara itu.

“Kalau semuanya berjalan lancar, mereka terima cadangan saya, saya akan tubuhkan syarikat saya di sana, kilang saya di sana. Ini kerana loji jana kuasa itu akan bertahan selama 25 tahun. Komitmen saya kepada negara itu, seperti yang dicatat dalam kontrak, ialah 25 tahun,” ujar Encik Azhar.

Apabila loji jana kuasa dan kerja-kerja pemasangan sistem tenaga suria di atas bumbung bangunan bermula kelak, Enercon Asia akan menggajikan pekerja tempatan dan juga antarabangsa, yang berkemahiran demi memastikan loji tersebut dikendalikan dengan baik.

Encik Azhar memberitahu BERITAmediacorp, sistem tenaga suria di atas bumbung bangunan mungkin boleh siap dalam masa tiga bulan manakala loji jana kuasa akan mengambil masa kira-kira setahun.

Sejauh ini, perjalanan projek tenaga bersih di Uzbekistan menunjukkan tanda-tanda memberangsangkan, kata Encik Azhar, yang berkongsi bagaimana projek itu akan membawa tiga manfaat kepada Uzbekistan.

“Pertama, mereka akan ada tenaga untuk ditambah kepada grid. Kedua, banyak negara yang menitikberatkan tenaga bersih dan Uzbekistan juga perlu mengurangkan pengeluaran karbon mereka. Ketiga, tenaga bersih tentu sekali lebih menjimatkan berbanding jenis-jenis tenaga lain.”

Yang pasti, Encik Azhar berharap projek di Uzbekistan ini mencapai kejayaan dan ekonomi negara itu serta rakyatnya terus berkembang maju. 

Sejauh ini, Enercon Asia sudah menebarkan sayap di tujuh negara lain termasuk negara-negara membangun seperti Pakistan, Bangladesh dan Myanmar. Ia kini sedang meninjau pasaran lain seperti Arab Saudi, Thailand dan juga Vietnam.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita