Syarikat aeroangkasa Pratt & Whitney berhentikan lebih 400 pekerja di S'pura dek kesan teruk COVID-19
Syarikat pengilangan aeroangkasa Pratt & Whitney akan memberhentikan 390 pekerjanya di Singapura, menurut firma itu pada Isnin (3 Ogos).
SINGAPURA: Syarikat pengilangan aeroangkasa Pratt & Whitney akan memberhentikan lebih 400 pekerjanya di Singapura, menurut firma itu pada Isnin (3 Ogos).
Syarikat Amerika Syarikat itu, menyatakan langkah itu diambil susulan pandemik COVID-19 menjejas teruk sektor penerbangan.
Menurutnya lagi kepada Mediacorp, 19.3 peratus daripada lebih 2,000 pekerja di Singapura terjejas.
Dalam satu kenyataan bersama dengan Kesatuan Sekerja Perusahaan dan Perkhidmatan (SISEU), Pratt & Whitney menarik perhatian ramalan yang menunjukkan bahawa sektor penerbangan akan mengambil masa sehingga 2023 untuk pulih kembali kepada keadaan sebelum COVID-19.
"Keputusan ini sukar tetapi perlu diambil oleh syarikat-syarikat Pratt & Whitney disebabkan tempoh pemulihan yang berlarutan bagi sektor penerbangan komersil. Ini setelah kami melaksanakan langkah-langkah menjimatkan kos termasuk mengurangkan gaji buat sementara waktu dan minggu bekerja yang lebih singkat, membekukan pengambilan pekerja baru dan mengurangkan perbelanjaan," menurut kenyataan itu.
Ia menambah bahawa syarikat-syarikat Pratt & Whitney mula bekerja dengan SISEU dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada April berhubung langkah mengurangkan kos yang akan diambil.
SISEU akan terus bekerja rapat dengan Pratt & Whitney untuk memastikan pekerja yang terjejas akan menerima bantauan yang sewajarnya.
Selain pakej pemberhentian kerja bagi pekerja yang terjejas, SISEU juga meminta syarikat-syarikat Pratt & Whitney untuk menawarkan pekerja yang terjejas dengan geran latihan sekali sahaja, untuk membantu menyokong usaha pekerja mempertingkatkan kemahiran dan kedudukan mereka bagi peluang masa hadapan.
Pekerja terjejas yang merupakan anggota kesatuan akan juga menerima keanggotaan NTUC sehingga hujung tahun ini. Ini supaya mereka dapat terus menikmati manfaat sebagai seorang anggota kesatuan termasuk anugerah dermasiswa kesatuan, bantuan kewangan di bawah program bantuan dan sokongan NTUC seperti program NTUC Care Fund (e-baucer), perlindungan insurans, pembangunan peribadi dan bantuan latihan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.