Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Strategi perniagaan perlu ambil kira pengurangan karbon, risiko iklim untuk kekal berdaya saing, kata Teo Chee Hean

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Jun 2022 06:06PM Dikemas Kini : 07 Jun 2022 10:35PM

SINGAPURA: Untuk kekal berdaya saing dalam jangka panjang, perniagaan perlu ambil kira pengurangan karbon dan risiko iklim dalam strategi masing-masing agar tidak dianggap sebagai "tidak melakukan secukupnya dan terlalu lambat", kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean pada Selasa (7 Jun).

Berucap pada persidangan kemampanan sempena Minggu Ecosperity, Encik Teo memberi amaran bahawa kesan perubahan iklim akan menjejas perniagaan, dan mengganggu model operasi serta rantaian bekalan.

Kesedaran yang semakin meningkat tentang krisis iklim juga telah mengubah cara orang ramai menilai perniagaan, serta nilai yang dipegang sesebuah syarikat, katanya.

"Syarikat tidak lagi boleh sekadar memberi tumpuan kepada pulangan jangka pendek daripada aset sedia ada dan rangkaian perniagaan," kata Encik Teo sambil menambah bahawa pemegang saham, pemiutang, pelanggan, malah pekerja sekalipun akan menuntut amalan dan rancangan yang lebih mampan.

"Memandangkan permintaan bagi amalan mampan semakin meningkat, mereka yang awal terlibat akan meraih faedahnya manakala yang ketinggalan mungkin dianggap sebagai tidak melakukan secukupnya dan terlalu lambat."

"Syarikat-syarikat akan disoal tentang strategi masing-masing untuk mengelakkan aset atau pengeluaran yang dianggap usang," tambah Encik Teo.

Beliau menarik perhatian perusahaan minyak dan gas, yang mendapat tumpuan ramai ekoran kebimbangan terhadap perubahan iklim di dunia.

Keadaan itu mendorong lima syarikat gergasi - Shell, ExxonMobil, BP, Chevron, dan ConocoPhillips - memberi respons dengan berikrar untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Shell, ExxonMobil dan Chevron, yang beroperasi di Singapura, komited untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Encik Teo menyeru sektor swasta untuk melakukan lebih lagi dalam menangani perubahan iklim.

"Dasar iklim, kemajuan teknologi dan keutamaan pihak berkepentingan akan memberi kesan kepada nilai mampan sesebuah syarikat, dan nilainya dalam jangka panjang," kata beliau.

Menurut Encik Teo sektor swasta dan kewangan swasta mempunyai peranan penting dalam peralihan ke arah ekonomi hijau, dengan menyediakan pelaburan untuk merapatkan jurang pembiayaan, atau menerajui usaha menggunakan model perniagaan yang lebih hijau.

Pada Isnin (6 Jun), Temasek melancarkan syarikat platform pelaburan baru GenZero, yang bertujuan untuk mempercepatkan pengurangan karbon secara global.

Temasek memperuntukkan dana awal S$5 bilion untuk menubuhkan GenZero, dan sudah membuat beberapa pelaburan dalam huraian berasaskan teknologi serta alam semula jadi, dan syarikat yang menyokong pembangunan ekosistem karbon.

Encik Teo berkata Singapura akan berkongsi pada lewat tahun ini, rancangan yang disemak semula untuk mencapai matlamat sifar karbon menjelang 2050.

Beliau berkata dasar pemerintah adalah salah satu anak kunci untuk mencapai wawasan itu.

Inisiatif sektor privet pula adalah satu lagi anak kunci.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan