Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Starbucks tutup 2 cawangan di China susuli aduan guna bahan tamat tarikh luput

Rantaian kopi Amerika Syarikat, Starbucks, menyatakan pada Isnin (13 Dis) ia sudah menutup dua cawangannya di China dan sedang menjalankan siasatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Starbucks tutup 2 cawangan di China susuli aduan guna bahan tamat tarikh luput

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Dec 2021 11:37PM Dikemas Kini : 13 Dec 2021 11:40PM

BEIJING: Rantaian kopi Amerika Syarikat, Starbucks, menyatakan pada Isnin (13 Dis) ia sudah menutup dua cawangannya di China dan sedang menjalankan siasatan. Ini ekoran satu laporan oleh sebuah akhbar yang disokong pemerintah yang mendakwa cawangan-cawangan tersebut menggunakan bahan-bahan sudah basi untuk membuat minuman sekali gus mencabuli peraturan keselamatan makanan.

Akhbar Beijing News, dalam apa yang disifatkannya sebagai satu siasatan intip, menyatakan insiden sedemikian berlaku di dua kedai di bandar Wuxi, timur China.

"Kami memandang sangat serius terhadap apa yang dilaporkan oleh media tempatan dan sudah menutup dua kedai terbabit dengan serta-merta untuk menjalankan siasatan rapi," kata seorang jurucakap Starbucks.

"Sejak menembusi pasaran tanah besar China 22 tahun lalu, kami komited untuk melaksanakan piawai keselamatan makanan yang ketat dan mengamalkan dasar "sifar tolak ansur" terhadap isu keselamatan makanan. Kami mengalu-alukan penyeliaan berterusan oleh anggota media dan masyarakat umum."

Syarikat itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut tentang butiran laporan tersebut.

Insiden itu menjadi topik hangat di laman media sosial China, Weibo, selepas laporan tersebut diterbitkan.

Pengguna serta media China menjadi lebih agresif tentang usaha melindungi hak pelanggan dan memantau tindak-tanduk jenama-jenama besar terutamanya dari luar negara.

China adalah pasaran terbesar bagi Starbucks di luar Amerika Syarikat dengan 5,360 cawangan setakat 3 Oktober, berdasarkan laporan pendapatan terkini firma itu.

Beijing News melaporkan salah sebuah cawangan Starbucks itu menggunakan cecair matcha yang sudah tamat tarikh luput untuk membancuh minuman latte. Cawangan yang lain pula dilaporkan meletakkan pastri untuk dijual sedangkan ia sepatutnya dibuang.

Setakat petang Isnin, topik berhubung respons Starbucks terhadap laporan Beijing News sudah menerima lebih 50 juta tontonan di Weibo.

Para pengguna melahirkan rasa kecewa dan bimbang akan masalah-masalah lain yang lebih meluas.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan