Skip to main content

Kewangan

StanChart akan potong lebih 7,000 pekerjaan, AI bakal gantikan 'pekerja bernilai rendah'

Anggaran Waktu Membaca:
StanChart akan potong lebih 7,000 pekerjaan, AI bakal gantikan 'pekerja bernilai rendah'

Logo Bank Standard Chartered di London, Britain. (Gambar: REUTERS/Peter Nicholls)

Diterbitkan : 20 May 2026 10:49AM Dikemas Kini : 20 May 2026 10:54AM
HONG KONG: Bank Standard Chartered akan menggugurkan lebih 7,000 pekerjaan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Langkah ini diambil kerana bank tersebut mahu menggantikan "modal insan bernilai rendah" dengan teknologi, sekali gus menjadikannya antara institusi kewangan terkemuka dunia yang menggantikan kakitangan dengan kecerdasan buatan (AI).

Bank yang beribu pejabat di London itu menyatakan pada Selasa (19 Mei) bahawa AI menjadi pemacu utama untuk mengecilkan operasi mereka demi meningkatkan keuntungan dan menghadapi persaingan.

StanChart memaklumkan bahawa ia akan menggugurkan 15 peratus peranan dalam bahagian korporat menjelang tahun 2030.

Menurut pengiraan Reuters, langkah itu akan melibatkan pemberhentian lebih 7,000 pekerja daripada keseluruhan 52,000 kakitangan yang menyandang peranan berkenaan.

"Ini bukan sekadar pengurangan kos. Dalam beberapa situasi, ini adalah langkah menggantikan tenaga kerja manusia yang bernilai rendah dengan modal kewangan dan pelaburan teknologi yang kami bawa masuk," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bill Winters, kepada para wartawan.

Bank itu menggajikan sekitar 82,000 kakitangan di seluruh dunia. Encik Winters memberitahu para wartawan bahawa pengurangan ini akan dipacu oleh sistem automasi dan penggunaan AI, sementara sebahagian kakitangan akan dilatih semula.

"Oleh itu, bagi pekerja yang mahu meningkatkan kemahiran (reskill) dan mahu terus berkhidmat, kami memberikan setiap peluang untuk mereka bertukar ke jawatan baharu," kata Encik Winters, sambil merujuk kepada pilihan latihan semula yang ditawarkan kepada pekerja yang terjejas.

Pengurangan pekerja ini - bersama sasaran pulangan pelaburan yang lebih tinggi untuk pemegang saham - diumumkan ketika StanChart berada di fasa akhir usaha transformasi selama sedekad, iaitu daripada sebuah bank yang berpotensi diambil alih kepada sebuah institusi kewangan yang mencatatkan keuntungan stabil.

Saham bank itu yang disenaraikan di London meningkat 65 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu, namun turun 0.5 peratus pada awal sesi dagang selepas para penganalisis menyifatkan sasaran baharu itu sebagai agak konservatif dan berhati-hati.

"Dalam dunia yang penuh ketidakpastian, prestasi bank mungkin menjadi lebih mencabar pada masa hadapan," kata Ed Firth, penganalisis di Keefe, Bruyette & Woods. Beliau merujuk kepada bagaimana bank tersebut sebelum ini meraih keuntungan besar hasil daripada kadar faedah yang tinggi dan aliran kekayaan yang banyak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Langkah StanChart untuk memudahkan operasi dan mengawal kos berlaku ketika semakin banyak syarikat global mengurangkan tenaga kerja dengan menggunakan AI untuk meningkatkan kecekapan.

Bank Jepun, Mizuho, pada Mac lalu mengumumkan pengurangan sehingga 5,000 pekerjaan dalam tempoh sedekad. Bank-bank di seluruh dunia juga sedang berlumba-lumba untuk menyepadukan model AI terkini sambil membanteras ancaman siber yang semakin meningkat.

Menurut Encik Winters, jawatan yang paling terjejas adalah di pusat operasi belakang tabir (back-office) bank tersebut, termasuk yang terletak di Chennai, Bengaluru, Kuala Lumpur dan Warsaw.

"Sudah tentu kami menggunakan AI dalam proses ini dan AI akan menjadi pemudah cara serta penggerak yang amat besar," tambahnya, sambil merujuk kepada usaha automasi sistem perbankan teras mereka yang sedang dijalankan.

SASARAN KONSERVATIF

StanChart menyasarkan untuk memberikan pulangan ekuiti ketara (ROTE) melebihi 15 peratus pada tahun 2028, iaitu meningkat tiga peratusan mata lebih tinggi berbanding 2025, dan terus meningkat kepada sekitar 18 peratus menjelang 2030.

Bank berkenaan menyokong sasaran baharu itu dengan mengekalkan fokus kepada perniagaan yang meraih keuntungan lebih tinggi, termasuk pelanggan runcit yang kaya serta institusi kewangan di bawah bahagian perbankan korporat dan pelaburan mereka.

Bank tersebut turut mempercepatkan sasaran untuk menarik dana bersih baharu sebanyak AS$200 bilion (S$256 bilion) pada 2028, berbanding sasaran asal pada tahun 2029. Pada suku pertama, bank itu melaporkan rekod tertinggi bagi pendapatan segmen kekayaan dan dana pelanggan baharu.

StanChart, yang memfokuskan operasinya di Asia Pasifik dan Afrika, sedang berusaha untuk menjana pertumbuhan yang lebih kukuh walaupun ketidakpastian geopolitik mengaburkan prospek beberapa pasaran utamanya.

Para penganalisis berpendapat bank-bank di Asia Pasifik mungkin perlu meningkatkan lagi peruntukan bagi kerugian pinjaman jika konflik di Iran berlarutan, memandangkan kos tenaga yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lemah akan membebankan para peminjam.

Pada suku pertama, StanChart memperuntukkan AS$190 juta (S$243 juta) sebagai langkah berjaga-jaga ekoran konflik di Timur Tengah.

"Kami sangat berdaya bingkas," kata Encik Winters apabila ditanya mengenai kesan risiko geopolitik dan pasaran terhadap kemampuan bank itu untuk mencapai sasaran tersebut.

Pengumuman pada Selasa (19 Mei) juga dibuat bagi meredakan spekulasi pasaran mengenai rancangan penggantian kepimpinan selepas Encik Winters berkhidmat selama 11 tahun sebagai peneraju. Bank itu menyatakan bahawa beliau akan terus dikekalkan selama beberapa tahun lagi bagi memastikan strategi baharu ini berjalan lancar.

Pada Isnin (18 Mei), bank itu melantik Manus Costello, ketua hubungan pelabur dan pakar penyelidikan ekuiti, sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) tetap bagi menggantikan Diego De Giorgi yang meletak jawatan pada Februari lalu selepas hampir tiga tahun berkhidmat dengan bank tersebut.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita