Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura pasaran penting bagi sektor wisata Sabah

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura pasaran penting bagi sektor wisata Sabah

Gunung Kinabalu di Sabah. (Gambar: Unsplash/Ryan 'O' Niel)

KOTA KINABALU: Singapura adalah pasaran penting bagi sektor pelancongan Sabah.

Demikian menurut Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Joniston Bangkuai hari ini (16 Apr).

Beliau menambah, ini kerana Singapura sudah menjadi pasaran tumpuan dan hab penting yang menghubungkan pasaran tumpuan lain di seluruh dunia ke Sabah, lapor BH Online.

"Kita tahu rakyat Singapura sangat sukakan alam semula jadi, aktiviti menyelam dan sebagainya. Kita sangat bersyukur mereka memilih Sabah sebagai destinasi untuk aktiviti ini.

"Dengan pembukaan semula sempadan sejak 1 April dan pengembalian semula penerbangan terus dari Singapura ini, mereka boleh mengintai peluang untuk berehat daripada rutin harian dan melakukan semula aktiviti yang diminati mereka," katanya, seperti yang dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian semasa satu sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang Air Asia AK1794 dari Singapura ke Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Seramai 119 penumpang menaiki penerbangan AirAsia AK1794 dari Singapura. Ia juga merupakan penerbangan pertama dari Singapura selepas pembukaan sempadan Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 April lalu, lapor BH Online.

SEDIA PROMOSI TARIK PELANCONG S'PURA KE SABAH

Dalam pada itu, Encik Joniston berkata, pihaknya sudah menyusun beberapa program promosi sebagai langkah permulaan untuk menarik semula pelancong Singapura ke Sabah.

Antaranya, penyertaan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan pemain industri Sabah ke 'Travel Malaysia Digital Fair' bermula 22 sehingga 22 April nanti.

"Memandangkan sekatan perjalanan sudah ditarik balik dan sempadan dibuka semula, jalan menuju pemulihan ekonomi memerlukan usaha kerjasama semua pihak berkepentingan dan pemain industri.

"Saya menggalakkan semua perniagaan dan usahawan untuk kekal berdaya tahan semasa kita mengharungi pandemik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat tambang rendah AirAsia menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Sabah melalui pelancongan dan hospitaliti sejak kehadirannya pada 2001.

"Saya gembira mendapat tahu bahawa AirAsia telah mengembangkan tawarannya melangkaui penerbangan dan kini menjadi 'rumah' kepada beberapa usaha niaga e-dagang yang berkembang maju iaitu AirAsia Super App.

"Selaras dengan peralihan kepada fasa endemik, saya percaya bahawa pelaksanaan semula operasi penerbangan antarabangsa ini datang pada masa yang sesuai untuk kedua-dua pelancong dan penduduk tempatan di Sabah," katanya.

Sebelum pandemik COVID-19, Sabah menerima seramai 126,000 penumpang melalui Singapura dengan rakyat Singapura menyumbang seramai 34,000 daripada jumlah tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial AirAsia, Tan Mai Yin berkata, pihaknya kini mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu antara Singapura dengan Kota Kinabalu, dengan penerbangan harian bermula pada 29 April.

"Kami juga sedang mengkaji penerbangan terus dari Thailand, Filipina, dan Indonesia ke Kota Kinabalu. Kami teruja dengan perkara ini dan kami akan mengumumkan kemas kini selanjutnya," katanya.

Sumber : AGENCIES/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan