Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura lancar inisiatif baru tarik lebih ramai pekerja tempatan ke sektor perkilangan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Mar 2022 03:36PM Dikemas Kini : 04 Mar 2022 11:39PM

SINGAPURA: Singapura akan melancarkan satu daya usaha baru untuk menarik lebih ramai penduduk tempatan menyertai sektor perkilangan, dan pada masa yang sama menggandakan usaha untuk memupuk sejumlah syarikat pengeluar tempatan yang kukuh, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Jumaat (4 Mac).

Menurut Encik Gan langkah itu diambil dalam usaha negara mencapai wawasan Perkilangan 2030.

Diumumkan pada 2021, matlamatnya adalah untuk meningkatkan nilai tambah sektor tersebut sebanyak 50 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Kemajuan yang baik" telah dibuat, kata Encik Gan, sambil berkata bahawa sektor perkilangan berkembang "sangat ketara" sebanyak 13.2 peratus tahun lalu. Sektor itu juga menarik pelaburan aset tetap sebanyak S$8.5 bilion, yang akan mewujudkan lebih 6,000 pekerjaan apabila projek berkaitan siap.

Lebih banyak usaha juga akan dilakukan untuk mengembangkan apa yang disebut Encik Gan sebagai "kumpulan syarikat perkilangan tempatan bertaraf global yang bertenaga", berdaya inovatif dan menghasilkan tawaran tersendiri kepada pelanggan.

"Agensi ekonomi kita akan memberikan sokongan lebih khusus untuk pengilang yang berpotensi kuat, untuk memperdalam keupayaan mereka dan mengembangkan sayap global mereka," tambah beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya.

Encik Gan juga bercakap tentang perlunya membangunkan saluran kukuh bagi bakat tempatan dan memastikan rakyat Singapura mendapat akses pekerjaan yang baik dalam sektor tersebut. Untuk mencapainya, syarikat perlu menawarkan laluan kerjaya yang menarik selaras dengan perubahan teknologi, dan memastikan prospek ini boleh dicapai, katanya.

“Oleh itu, kami akan melancarkan Inisiatif Kerjaya M2030 untuk bekerjasama dengan pihak perusahaan dalam mencapai matlamat ini. Ia menyasarkan terutamanya lulusan kita dari politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang sudah dilatih dengan kemahiran yang relevan berkaitan industri tersebut,” katanya di Parlimen.

Inisiatif kerjaya baru itu merangkumi buku panduan untuk majikan, meliputi pelbagai amalan terbaik dan sumber untuk membantu pengilang membangunkan laluan kerjaya berstruktur untuk pekerja mereka.

Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Jitu Singapura, sedang membangunkan buku panduan tersebut dengan rakan kongsi perusahaan dan institut pengajian tinggi. Ia juga akan mengenal pasti dan bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 20 syarikat untuk merintis pelaksanaan amalan serta laluan kerjaya dalam buku panduan tersebut.

"Peluang latihan amali bermutu tinggi" untuk pelajar ITE juga akan ditawarkan, dengan pihak berkuasa berharap dapat menyediakan 200 tempat sedemikian di 60 firma menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, Geran Laluan Dipercepatkan untuk Teknisyen dan Penolong Jurutera (Perkilangan) akan dirintis bersama syarikat-syarikat terpilih.

Menurut Encik Gan, geran itu akan menyokong syarikat menggajikan dan melatih lulusan ITE untuk peranan juruteknik dan penolong jurutera kritikal melalui latihan sambil bekerja, dengan kemajuan kerjaya dan gaji yang kompetitif.

KEMBANGKAN DAGANGAN, PERKHIDMATAN DAN PERUSAHAAN JELANG 2030

Matlamat 2030 bagi sektor perkilangan adalah sebahagian daripada "wawasan bersama" jangka panjang untuk ekonomi keseluruhannya, kata Encik Gan.

Wawasan Ekonomi Singapura 2030, itu menggariskan matlamat negara, menyediakan hala tuju dan menyelaraskan tindakan merentasi empat tunggak utama dalam ekonomi.

Selain pengilangan ialah perdagangan, perkhidmatan dan perusahaan.

Mengenai perdagangan, Singapura ingin meningkatkan nilai eksportnya daripada S$805 bilion pada 2020 kepada sekurang-kurangnya S$1 trilion menjelang 2030, kata Encik Gan.

Ia juga mahu menggandakan nilai perdagangan lepas pantai kepada AS$2 trilion (sekitar S$2.7 trilion) dalam tempoh yang sama, sambil menarik lebih banyak aliran eksport semula dan aktiviti pemindahan kargo kapal agar meningkatkan penyertaan Singapura dalam rantaian bekalan global.

Untuk mencapai strategi Perdagangan 2030, Singapura negara akan berusaha membina ekosistem syarikat perdagangan dan aktiviti yang kukuh. Ia termasuk menarik peniaga global terkemuka untuk menjalankan kegiatan mereka di Singapura.

Peniaga ini juga akan menjadi wadah untuk membantu syarikat Singapura menembusi pasaran luar negara, kata menteri itu.

Lebih banyak usaha juga akan dilakukan untuk mengembangkan peniaga tempatan yang kukuh "yang bertaraf global dan sangat inovatif".

Encik Gan berkata Enterprise Singapore akan memanfaatkan program, seperti Scale-up SG dan Program Kepimpinan Perusahaan untuk Transformasi, dan menyediakan sokongan yang disesuaikan dengan keadaan dan cita-cita setiap firma.

Sokongan tremasuk bidang seperti pembangunan bakat, inovasi, pengantarabangsaan dan pembiayaan.

Jumlah dagangan Singapura yang semakin meningkat akan mewujudkan "pekerjaan yang baik" untuk rakyat Singapura, kata Encik Gan, sambil menambah bahawa sektor perdagangan menggajikan lebih 300,000 orang pada 2020. Kebanyakannya adalah warga tempatan dengan hampir 70 peratus adalah pekerjaan PMET.

Memandangkan sektor perdagangan terus berkembang, Singapura harus membangunkan tenaga kerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, tambahnya.

Di samping Peta Transformasi Pekerjaan dan inisiatif peningkatan tenaga kerja khusus sektor lain yang sudah dijalankan, pihak berkuasa juga bekerjasama dengan pihak perusahaan dan institut pengajian tinggi untuk membangunkan lebih banyak bakat dalam perdagangan komoditi seperti gas asli cecair dan kredit karbon.

Bagi sektor perkhidmatan, yang membentuk lebih 70 peratus ekonomi Singapura, Encik Gan menyentuh tentang keperluan untuk membangunkan enjin pertumbuhan baru. Beliau menarik perhatian dua "gelombang peluang utama" iaitu kemampanan dan pendigitalan.

Wawasan Ekonomi Singapura 2030, kata Encik Gan, juga perlu disokong ekosistem perusahaan tempatan yang bertenaga, siap menghadapi cabaran masa depan, berdaya saing di peringkat global dan memiliki keupayaan inovatif yang mendalam.

Perusahaan ini kemudiannya akan mewujudkan pekerjaan yang baik dan kerjaya bermakna untuk rakyat Singapura, kata Encik Gan di Parlimen.

Singapura juga akan melaksanakan strategi Perusahaan 2030 atau Enterprise 2030 untuk "meningkatkan usaha mengenal pasti dan menyokong perniagaan tempatan yang berpotensi", kata Encik Gan.

Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan