Skip to main content

Kewangan

S'pura akan naikkan GST seperti dirancang, sedang ekonomi pulih dari COVID-19: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan naikkan GST seperti dirancang, sedang ekonomi pulih dari COVID-19: PM Lee

Orang ramai menyeberangi sebuah jalan raya di Orchard Road. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 31 Dec 2021 08:08PM Dikemas Kini : 07 Jan 2022 09:24AM

SINGAPURA: Pemerintah perlu mula melaksanakan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang bakal direncanakan dalam Belanjawan 2022 memandangkan ekonomi sedang beransur pulih daripada COVID-19. Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian dalam Amanat Tahun Baru beliau pada Jumaat (31 Dis).

Pemerintah mesti mempunyai sumber pendapatan yang "diyakini dan mencukupi" untuk melaksanakan program-program sosialnya, kata Encik Lee.

Beliau menambah pendapatan tambahan juga diperlukan untuk membiayai peluasan sistem penjagaan kesihatan serta menyokong skim-skim khusus buat rakyat Singapura yang lanjut usia.

"Mereka yang lebih berada seharusnya menyumbang bahagian yang lebih besar, tetapi semua orang harus memikul sekurang-kurangnya sebahagian kecil daripada beban ini," kata beliau.

"Inilah rasional di sebalik keputusan untuk menaikkan cukai berasas luas seperti GST, ditambah pula dengan sebuah skim imbangan yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan ke atas keluarga-keluarga berpendapatan rendah," terang Perdana Menteri.

"GST membentuk satu komponen penting dalam sistem cukai dan pindahan dana kita yang turut merangkumi cukai pendapatan dan harta. Secara keseluruhannya, sistem kita akan kekal progresif dan adil," tambahnya.

"Pemerintah menjangkakan keperluan ini akan timbul sejak beberapa tahun yang lalu. Memandangkan ekonomi kita sedang bangkit daripada COVID-19, kita perlu melaksanakan langkah tersebut. Oleh itu, Belanjawan 2022 akan menyediakan asas bagi kedududukan kewangan Pemerintah yang kukuh dan mampan untuk tahap pembangunan Singapura seterusnya," tambah beliau.

Rancangan untuk menaikkan GST sebanyak dua peratusan mata - dari 7 peratus hingga 9 peratus - pertama kali diumumkan pada 2018 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Encik Heng Swee Keat, dalam kenyataan Belanjawan beliau.

Encik Heng berkata kenaikan tersebut perlu dilakukan untuk memperkukuhkan pendapatan setelah mengambil kira perbelanjaan berulang bagi jagaan kesihatan, keselamatan serta perbelanjaan sosial yang lain.

"Cara bertanggungjawab untuk membiayainya adalah melalui pelaksanaan cukai supaya setiap generasi membayar bahagiannya. Kita tidak seharusnya meminjam untuk menampung perbelanjaan berulang kerana ia akan meletakkan beban perbelanjaan berulang pada generasi seterusnya," jelas Encik Heng pada 2018.

"Kenaikan GST adalah penting kerana sekalipun setelah menimbangkan pelbagai pilihan lain untuk menguruskan perbelanjaan masa hadapan kita melalui perbelanjaan yang berhemat, berjimat dan meminjam untuk prasarana, masih tetap ada jurang," tambah beliau.

"Menaikkan GST sebanyak dua peratusan mata akan menyediakan kita dengan pendapatan hampir 0.7 peratus GDP setiap tahun."

Encik Heng berkata pada 2018 bahawa kenaikan GST akan dilaksanakan pada satu masa antara 2021 dengan 2025 - lebih awal berbanding tempoh lebih lewat - dengan masa tepatnya akan ditentukan berdasarkan faktor-faktor seperti keadaan semasa ekonomi.

Melihat kesan COVID-19 terhadap ekonomi kita, Encik Heng berkata tahun lalu bahawa kenaikan GST tidak akan dilaksanakan pada 2021.

Beliau menekankan, bagaimanapun, bahawa kenaikan tersebut akan dilaksanakan juga "lambat laun" , antara 2022 dengan 2025.

"Tanpa kenaikan kadar GST, kita tidak mampu memenuhi peningkatan pada keperluan kita yang berulang, terutama sekali bagi perbelanjaan jagaan kesihatan," kata Encik Heng dalam Kenyataan Belanjawan 2021.

Encik Heng, yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebelum ini mengumumkan GST ke atas pendidikan dan jagaan kesihatan awam yang bersubsidi akan terus diserap sepenuhnya.

Keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan juga akan menerima sokongan melalui skim Baucar GST tetap, yang akan dipertingkatkan apabila kadar baru GST berkuat kuasa.

Belanjawan 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong pada 18 Februari.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita