Spotify catat keuntungan sedang pelanggan meningkat sewaktu pandemik COVID-19
Khidmat penstriman muzik Spotify pada Rabu (29 Apr) mengumumkan ia kembali meraih keuntungan pada suku pertama tahun ini, selain mencatat peningkatan jumlah pelanggan sedang sebahagian besar penduduk dunia terpaksa duduk di rumah kerana sekatan pergerakan COVID-19.

(Gambar fail: REUTERS/Lucas Jackson)
STOCKHOLM: Khidmat penstriman muzik Spotify pada Rabu (29 Apr) mengumumkan ia kembali meraih keuntungan pada suku pertama tahun ini, selain mencatat peningkatan jumlah pelanggan sedang sebahagian besar penduduk dunia terpaksa duduk di rumah kerana sekatan pergerakan COVID-19.
Syarikat tersebut mencatat keuntungan bersih 1 juta euro (S$1.53 juta), berbanding kerugian 142 juta euro (S$217 juta) setahun lalu.
Spotify juga melaporkan 286 juta pengguna aktif, 130 juta daripadanya ialah pengguna berbayar. Jumlah kedua-dua jenis pengguna itu adalah lonjakan 31 peratus berbanding setahun lalu.
"Meskipun di tengah-tengah ketidaktentuan global berhubung COVID-19 pada suku pertama, perniagaan kami memenuhi atau menjangkaui ramalan bagi kesemua kayu ukur utama," menurut kenyataan syarikat itu.
Spotify meraih pendapatan sebanyak 1.85 bilion euro (S$2.83 bilion) bagi suku tersebut, dengan pendapatan dari pengguna premium membentuk 1.7 bilion euro (S$2.6 bilion).
Dengan mencatat kerugian operasi lebih kecil pada 17 juta euro (S$26.03 juta), berbanding 47 juta euro (S$71.97 juta) dalam suku pertama 2019, syarikat tersebut berjaya mengaut keuntungan satu juta euro hasil pendapatan kewangan yang diperkukuh. Ini merujuk kepada pendapatan yang dihasilkan dengan melaburkan tunai berlebihan sementara ke dalam pelaburan jangka pendek dan sekuriti.
Spotify menyatakan perniagaannya terkesan oleh COVID-19 pada lewat Februari, dengan jumlah pendengar merosot di pasaran-pasaran teruk terjejas seperti di Itali dan Sepanyol.
Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan "sejak beberapa minggu lalu", jumlah pendengar "mula meningkat semula".
Menurut Spotify, bilangan pengguna "meningkat dengan banyak meskipun semasa tempoh sekatan pergerakan di pasaran-pasaran utama".
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.