Skip to main content

Kewangan

SPH susun semula perniagaan; bentuk entiti bukan untuk raih untung

Singapore Press Holdings (SPH) akan memindahkan perniagaan medianya ke entiti bukan meraih keuntungan di tengah-tengah cabaran hasil pengiklanan yang kian merosot, umum syarikat itu pada Khamis (6 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 May 2021 12:36PM Dikemas Kini : 07 May 2021 12:23AM

SINGAPURA: Singapore Press Holdings (SPH) akan memindahkan perniagaan medianya ke entiti bukan meraih keuntungan di tengah-tengah cabaran hasil pengiklanan yang kian merosot, umum syarikat itu pada Khamis (6 Mei).

Langkah penyusunan semula itu melibatkan pemindahan seluruh perniagaan SPH berkaitan media ke anak syarikat milik penuh yang baru ditubuhkan, SPH Media Holdings.

Pemindahan itu melibatkan anak-anak syarikat serta pekerja yang relevan, Pusat Berita dan Pusat Cetakan serta pegangan pajak masing-masing. Ini di samping hak intelektual dan aset teknologi maklumat yang berkaitan.

SPH akan menyediakan sumber dan dana awal untuk memanfaatkan SPH Media dengan suntikan wang tunai sebanyak S$80 juta, S$30 juta saham SPH dan unit SPH REIT serta saham SPH dalam empat pelaburan media digitalnya.

SPH Media akhirnya akan dipindahkan ke entiti bukan meraih keuntungan dengan jumlah nominal. Entiti ini akan menjadi syarikat awam terhad dengan jaminan atau CLG.

Selepas pemindahan SPH Media ke CLG, SPH tidak lagi tertakluk kepada pemegang saham dan sekatan-sekatan lain yang berkaitan di bawah Akta Surat Khabar dan Media Cetakan, menurut syarikat itu.

SAKSIKAN "GANGGUAN YANG BELUM PERNAH BERLAKU"

Industri media menyaksikan "gangguan yang belum pernah berlaku" sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut SPH ketika memberikan penjelasan di sebalik langkah tersebut.

Pendapatan operasi syarikat itu jatuh separuh dalam tempoh lima tahun lalu, sebahagian besarnnya diheret oleh kemerosotan pada hasil iklan cetak dan langganan bercetak, kongsinya.

Perniagaan media SPH sedari itu menjunam teruk, mengalami kerugian pertamanya sebanyak S$11.4 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos 2020.

Jika tidak kerana Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) Pemerintah, kerugian itu mungkin lebih teruk lagi sebanyak S$39.5 juta, menurut SPH.

Sekalipun dengan penyambungan semula kegiatan perniagaan selepas pembukaan semula ekonomi Singapura daripada tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, penurunan pada hasil pendapatan periklanan dijangkakan berterusan pada rentak yang sama dengan lima tahun lalu.

SPH menyatakan pihaknya mendampingi Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dengan cadangan penyusunan semula untuk meletakkan perniagaan media di landasan kewangan jangka panjang yang mampan.

MCI, yang mengawal selia Akta Surat Khabar dan Media Cetakan, menyatakan sokongannya bagi penyusunan semula itu, menurut SPH.

Pemansuhan sekatan Akta Surat Khbar dan Cetakan Media juga akan memberi SPH "kelonggaran yang lebih besar untuk menyesuaikan modal dan struktur pegangan sahamnya bagi merebut peluang pertumbuhan strategik", tambahnya.

Pemindahan aset media SPH ke CLG tertakluk kepada persetujuan pemegang saham SPH di satu mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada kemudian hari.

PENYUSUNAN SEMULA YANG LALU

SPH melaporkan pada Mac ia mencatatkan laba bersih bernilai S$97.9 juta pada separuh pertama tahun kewangan.

Perniagaan media teras syarikat itu sudahpun menyaksikan penurunan pendapatan dan keuntungan yang berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi ia diimbangi oleh perniagaan hartanahnya.

SPH memiliki 66 peratus saham dalam SPH REIT yang portfolionya merangkumi The Paragon, The Clementi Mall dan The Rail Mall.

Di Australia, SPH REIT memegang saham dua pusat beli-belah.

SPH juga memiliki serta mengendalikan The Seletar Mall dan sedang mengembangkan pembangunan bersepadu yang terdiri daripada The Woodleigh Residences dan The Woodleigh Mall.

Ia memiliki dan menguruskan penginapan pelajar di United Kingdom dan Jerman.

Syarikat itu meminta untuk menghentikan sesi dagang pada pagi Khamis sebelum pengumuman ini.

Sahamnya ditutup pada harga S$1.79 pada Rabu.

Ogos lalu, SPH memberhentikan 140 pekerja iaitu sekitar 5 peratus daripada jumlah kumpulan medianya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula korporat untuk mengurangkan kesan COVID-19.

Ini menyusuli langkah penyusunan semula pada Oktober 2019 yang mengurangkan 5 peratus pekerjaan di divisyen media SPH, yang menjejas kira-kira 130 pekerja, di mana sekitar 70 daripadanya diberhentikan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita