Skechers buka 5 kedai baru di S'pura sedang 'peluang' muncul di sebalik pandemik COVID-19
Industri runcit mungkin sedang melalui cabaran hebat akibat pandemik COVID-19 tetapi jenama kasut Amerika, Skechers, melihat beberapa jendela peluang dan telah meningkatkan kehadirannya di Singapura sejak beberapa bulan lalu.
Kedai di Suntec City ini antara lima cawangan baru Skechers yang dibuka di Singapura baru-baru ini. (Gambar: Skechers)
SINGAPURA: Industri runcit mungkin sedang melalui cabaran hebat akibat pandemik COVID-19 tetapi jenama kasut Amerika, Skechers, melihat beberapa jendela peluang dan telah meningkatkan kehadirannya di Singapura sejak beberapa bulan lalu.
Ia membuka lima cawangan baru pada Julai dan Ogos sekali gus mengembangkan kehadiran runcitnya kepada 30 kedai bahkan meluaskan dua kedai sedia ada. Jenama itu juga telah mengambil 40 pekerja baru.
Langkah itu diambil meskipun industri runcit amat terjejas teruk oleh penularan COVID-19.
Jualan runcit mencatat kemerosotan paras rekod pada April dan Mei apabilla pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan. Ia pulih kepada paras kejatuhan jualan lebih rendah pada Jun dan Julai apabila kegiatan runcit dibenarkan disambung semula. Sementara itu, kadar kekosongan ruang runcit di seluruh negara meningkat kepada 9.6 peratus di akhir suku kedua iaitu naik daripada 8 peratus pada suku pertama.
“Banyak jenama gulung tikar dan kerana itu ada lokasi-lokasi baik yang tersedia sekarang berbanding sebelumnya," kata Naib Presiden Skechers bagi Asia Tenggara Zann Lee kepada Mediacorp dalam satu wawancara pada Khamis (10 Sep).
Para pemilik pusat beli-belah lebih terbuka kepada rundingan, lantas kadar sewa bagi kedai-kedai baru syarikat itu turun sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding masa sebelum pandemik, dedah Cik Lee. Kejatuhan itu sejajar dengan pasaran-pasaran lain, tambah beliau, dengan harga sewa kedai turun sebanyak 40 peratus di China dan lebih 30 peratus di Thailand.
Pasaran pakaian sukan santai yang terus berkembang adalah satu lagi sebab Skechers meneruskan rencananya untuk meluaskan perniagaan.
Cik Lee berkata Skechers mencapai pertumbuhan satu angka bagi penjualan di Singapura dalam perbandingan tahun ke tahun untuk Jun, Julai dan Ogos. Ini berbanding pertumbuhan penjualan sebanyak dua angka yang disaksikan pada awal tahun ini.
Ia juga sedang menaruh harapan kepada pelancaran produk-produk baru seperti kerjasama akan datang dengan watak Jepun popular, Hello Kitty, untuk menarik mereka yang mahukan "sesuatu yang baru".
Ketika ditanya sama ada langkah peluasan itu mungkin membawa risiko kerana kemelesetan ekonomi sekarang, Cik Lee memerhatikan bagaimana sesetengah pengguna lebih memilih untuk membuat pembelian di pusat beli-belah kejiranan yang berhampiran dengan rumah mereka.
Inilah sebabnya Skechers membuka salah satu daripada lima kedai barunya di Tiong Bahru Plaza. Kedai-kedai baru yang lain terletak di Great World City, Novena Square, Suntec City dan Marine Square.
KEPERLUAN TENAGA MANUSIA
Buat masa ini, Skechers mempunyai sekitar 290 pekerja di Singapura dengan pejabat tempatannya juga bertindak sebagai ibu pejabat Asia Tenggara.
Para pekerja baru Skechers - semuanya warga termpatan - mengisi 30 jawatan runcit dan 10 dalam pasukan logistik. Menurut Cik Lee, pengambilan pekerja tempatan terutamanya mereka yang berpengalaman dalam industri runcit lebih mudah sejak akhir-akhir ini.
Dengan had gaji kelayakan bagi pemohon Pas Pekerjaan (EP) dinaikkan baru-baru ini, syarikat itu mahu melatih lebih ramai pekerja tempatan bagi jawatan pengurus kedai yang bergaji lebih tinggi di masa akan datang.
Buat masa ini, Skechers mempunyai pemegang EP yang mengisi sebahagian peranan pengurusan di kedai-kedai runcitnya di samping pelatih pengurusan. Ia turut menggajikan pemegang permit kerja sebagai pembantu runcit.
E-DAGANG
Sementara itu, Skechers juga sedang berusaha menambah fungsi e-dagang kepada lelamannya sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi keperluan para pengguna yang memilih untuk menggunakan wadah pembelian online.
Kerja-kerja bagi lelaman e-dagangnya yang tersendiri sudahpun dimulakan sejak tahun lalu namun pandemik dan gangguan yang timbul akibatnya menyebabkan syarikat itu mempercepatkan proses tersebut, jelas Cik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.