Skip to main content

Kewangan

Sistem kewangan SG kekal berdaya tahan, MAS beri amaran kenaikan risiko global

Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan manakala risiko global seperti ketidakpastian makroekonomi dan konflik geopolitik kekal tinggi, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (5 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Nov 2025 03:07PM Dikemas Kini : 05 Nov 2025 10:01PM
SINGAPURA: Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan manakala risiko global seperti ketidakpastian makroekonomi dan konflik geopolitik kekal tinggi, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (5 Nov).

Walaupun indeks tekanan kewangan Singapura iaitu penunjuk tekanan dan gangguan pasaran "menyederhana daripada puncaknya pada April untuk merosot bawah purata jangka panjang", konflik perdagangan yang diperbaharui atau keprihatinan kemampanan fiskal global yang meningkat boleh menjejas sentimen risiko pelabur, menurut MAS.

"Ini boleh membawa kepada potensi pembetulan yang ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa, terutama sekali di tengah-tengah penilaian yang agak tinggi dan premium risiko yang lebih rendah."

Ini adalah sebahagian daripada penemuan yang dibentangkan dalam kajian kestabilan kewangan tahunan MAS, yang menyampaikan penilaian pengawal selia dan pusat bank itu mengenai daya ketahanan sistem kewangan Singapura di tengah-tengah risiko global dan kelemahan domestik.

Pada April, indeks tekanan kewangan Singapura meningkat secara mendadak menyusuli pengumuman tarif timbal balik Amerika Syarikat, mencerminkan peningkatan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global, menurut MAS.

Namun, penghindaran risiko yang meningkat itu hanya "untuk tempoh singkat" dan tahap tekanan sejak itu sudah pun "berkurangan secara ketara", ia menambah.

Namun, risiko global daripada ketidakpastian makroekonomi disebabkan oleh tarif lebih tinggi, serta isu-isu geopolitik berkaitan konflik dan ketegangan perdagangan masih kekal.

MAS menukil konflik-konflik yang masih berterusan di Ukraine dan Timur Tengah, serta potensi geseran Amerika Syarikat-China, sebagai risiko geopolitik utama yang boleh mencetuskan kejutan bekalan dalam pasaran tenaga dan komoditi.

Ketegangan perdagangan juga boleh mempengaruhi rantaian bekalan dalam sektor-sektor strategik seperti teknologi dan bahan mentah kritikal, menurut MAS.

Secara global, pasaran saham mencapai tahap tertinggi dalam rekod, sebahagian besar dipacu oleh pelaburan dalam kecerdasan buatan, yang mungkin menyebabkan ramai pelabur "terdedah secara ketara" kepada sektor itu, menurut MAS.

Ia memberi amaran mengenai pembetulan mendadak dalam pasaran saham yang lebih luas jika pelabur menjadi kurang optimistik tentang keupayaan AI untuk menjana pulangan masa depan yang mencukupi.

KEADAAN KEWANGAN DOMESTIK YANG MENGGALAKKAN

Keadaan kewangan di Singapura "sedikit sebanyak menggalakkan" dan menyokong pertumbuhan, dengan penurunan kadar faedah dan justeru kos pinjaman, menurut MAS.

Purata Kadar Semalaman Singapura (SORA) tiga bulan - iaitu penanda aras kadar faedah utama bagi pinjaman kadar terapung - merosot kepada 1.72 peratus pada suku ketiga 2025 daripada 3.59 peratus pada tahun lalu.

Pinjaman bank kepada pelanggan dan perniagaan juga meningkat untuk tahun kedua berturut-turut, di mana ia meningkat 6.2 peratus dan menyokong kenaikan 9.5 peratus dalam bekalan wang.

Pertumbuhan kukuh dalam deposit SGD oleh rakyat individu dan korporat bukan kewangan juga menyokong pertumbuhan bekalan wang, menurut MAS.

Indeks STI naik 17 peratus sejak permulaan tahun ini ke tahap rekod, menurut MAS.

ISI RUMAH, KORPORAT PERLU TERUS BERWASPADA

Walaupun sektor isi rumah, korporat dan kewangan menunjukkan daya ketahanan kewangan meskipun berdepan risiko kerugian, mereka tetap perlu berwaspada disebabkan oleh sekitaran makrokewangan yang tidak menentu, menurut MAS.

Bagi isi rumah, MAS menyatakan pertumbuhan aset kewangan dan pendapatan yang sihat bantu menyederhanakan risiko modal pinjaman (leverage risk) kerana aset kewangan mereka tumbuh lebih pantas daripada hutang isi rumah.

Ujian tekanan juga mengesahkan keupayaan membayar hutang isi rumah adalah mencukupi untuk menampung mereka menerusi sebarang kejutan kadar faedah dan pendapatan, menurut MAS.

"Sebagai persiapan bagi sekitaran makroekonomi yang lebih mencabar, isi rumah perlu berhemah apabila mengambil pinjaman dan terus membina penampan mudah tunai yang mencukupi."
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita