SingPost usaha dapatkan kelulusan pemegang saham untuk jual perniagaan di Australia
Singapore Post (SingPost) akan meneruskan penjualan perniagaannya di Australia dengan mengadakan mesyuarat agung tergempar pada 13 Mac bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk pelupusan tersebut.
Kiriman yang diuruskan oleh SingPost. (Gambar fail: TODAY)
Syarikat itu sebelum ini mengumumkan pada 2 Disember 2024 bahawa ia sudah menandatangani perjanjian untuk menjual Freight Management Holdings (FMH) kepada Pacific Equity Partners (PEP).
SingPost dalam pemfailan di Bursa Singapura pada Rabu (26 Feb) menyatakan bahawa cadangan penjualan pada nilai perusahaan sebanyak A$1.02 bilion (S$867 juta) mencerminkan nilai intrinsik perniagaan tersebut.
Langkah itu diambil di tengah-tengah semakan strategik terhadap pengendali pos nasional yang bermula sejak Julai 2023.
Selepas penjualan tersebut, perniagaan SingPost akan tertumpu pada unit-unit di Singapura dan antarabangsa, yang menawarkan perkhidmatan pos dan logistik di Asia Pasifik.
"Memandangkan kepentingan penjualan perniagaan di Australia, lembaga pengarah telah menyatakan bahawa SingPost Group perlu menetapkan semula strateginya selepas pelupusan tersebut selesai," kata syarikat itu.
Lembaga pengarah akan mempertimbangkan pelupusan aset bukan teras secara beransur-ansur untuk membayar hutang serta membentuk dana bagi pelaburan semula atau pengagihan kepada pemegang saham.
"Buat sementara waktu, kumpulan ini akan menumpukan pelaburan bagi melengkapkan transformasi perniagaan pos dan logistik Singapura agar lebih mampan, terutamanya dengan menyokong pertumbuhan logistik e-dagang."
SingPost dijangka menerima hasil kasar sekitar S$659.5 juta dalam bentuk tunai daripada penjualan tersebut, iaitu kira-kira S$274.8 juta lebih tinggi daripada nilai aset bersih perniagaan di Australia, menurut syarikat tersebut.
Transaksi ini dijangka menghasilkan keuntungan pelupusan kira-kira S$289.5 juta.
"Pulangan ekuiti berleveraj adalah sekitar empat kali ganda daripada pelaburan ekuiti A$93.6 juta (S$79.4 juta) oleh SingPost Group dalam FMH sepanjang tempoh empat tahun lalu," kata syarikat itu.
SingPost merancang untuk menggunakan sebahagian hasil daripada penjualan tersebut bagi membayar balik pinjaman, terutamanya hutang A$362.1 juta (S$307.1 juta) yang diambil bagi memperoleh FMH. Lembaga tersebut juga akan mempertimbangkan pembayaran dividen khas kepada pemegang saham.
Pengerusi lembaga tersebut, Simon Israel, dalam satu kenyataan mengatakan bahawa penjualan itu memberikan pulangan yang kukuh terhadap pelaburan syarikat di Australia serta "merealisasikan nilai perniagaan yang belum dimanfaatkan".
FMH kini disenaraikan antara lima syarikat logistik terbesar di Australia berdasarkan hasil pendapatan, menurut SingPost.
Perniagaan di Australia menyumbang S$30.4 juta kepada jumlah keuntungan operasi SingPost sebanyak S$51.2 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2024/2025 yang berakhir pada September.
Cadangan pelupusan dibuat di tengah-tengah pemecatan tiga eksekutif kanan SingPost baru-baru ini berhubung dakwaan salah urus laporan pemberi maklumat berkaitan perniagaan antarabangsa syarikat itu.
Syarikat tersebut juga dijangka memberhentikan 45 pekerja dalam satu langkah penstrukturan semula, meskipun SingPost menegaskan bahawa pemberhentian itu "tidak berkaitan dengan sebarang kejadian terdahulu atau laporan-laporan pemberi maklumat".
Keuntungan operasi suku ketiga SingPost merosot 23.8 peratus tahun ke tahun kepada S$21.1 juta, menurut laporan kewangan yang diterbitkan pada 20 Februari.
Penurunan itu disebabkan oleh "tekanan makroekonomi berterusan, termasuk inflasi yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan persekitaran persaingan yang sangat sengit".
Namun, pertumbuhan hasil tahunan sebanyak 12.1 peratus dalam suku ketiga didorong oleh peningkatan dalam perniagaan di Australia dan penyewaan hartanah, yang mengimbangi sumbangan lebih rendah daripada perniagaan SingPost di Singapura dan di peringkat antarabangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.