Singapura lanjutkan tempoh penilaian lesen bank digital ekoran COVID-19
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan tempoh penilaian untuk meluluskan lesen bank digital dilanjutkan ekoran meningkatnya penyebaran COVID-19 di seluruh dunia.
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan tempoh penilaian untuk meluluskan lesen bank digital dilanjutkan ekoran meningkatnya penyebaran COVID-19 di seluruh dunia.
Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan pada separuh kedua tahun ini dan bukannya pada Jun seperti yang dijadualkan sebelum itu, menurut MAS pada Khamis (9 Apr).
Pada bulan Januari, MAS mengeluarkan kemas kini bahawa ia menerima 21 permohonan bagi lesen mengendalikan bank digital dan merancang untuk mengumumkan pemohon yang berjaya pada Jun.
"Peningkatan global pandemik COVID-19 sejak itu telah mendorong pelaksanaan langkah-langkah jarak selamat di Singapura, dan banyak syarikat membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah seberapa mungkin," kata bank pusat itu.
"Memandangkan perkembangan ini, MAS akan melanjutkan tempoh penilaian untuk pemberian lesen bank digital," menurut pihak penguasa tersebut.
MAS menyatakan tempoh dilanjutkan itu akan membolehkan pemohon menumpukan sumber dan perhatian mereka kepada menangani kesan segera pandemik COVID-19 terhadap perniagaan mereka.
Ia juga akan membolehkan MAS menumpukan sumber untuk memastikan kestabilan kewangan, dan institusi-institusi kewangan tetap berdaya tahan dan dapat melaksanakan peranan masing-masing dalam menyokong perniagaan dan individu mengharungi masa-masa mencabar ini.
Tahun lalu, MAS mengumumkan ia akan mengeluarkan sehingga lima lesen perbankan digital kepada pemain bukan bank.
Daripada jumlah tersebut, sehingga dua lesen adalah untuk bank runcit digital, yang membolehkan firma menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan serta mengambil deposit daripada pelanggan.
Tiga lagi lesen adalah untuk bank borong digital, yang membolehkan pemegang lesen untuk menawarkan khidmat kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana, serta sektor bukan runcit yang lain.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.