Singapore Press Holdings tolak tawaran Keppel
Singapore Press Holdings (SPH). (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Singapore Press Holdings (SPH) memutuskan untuk menggunakan haknya menolak tawaran Keppel Corp dan akan membenarkan pemegang saham SPH mengundi bagi tawaran daripada konsortium disokong jutawan pengusaha hotel Ong Beng Seng bernilai S$3.9 bilion, lapor Reuters.
"Pihak lembaga ingin memaklumkan kepada pemegang saham bahawa, selepas syarikat berunding dengan Majlis Industri Sekuriti (SIC) mengenai hak untuk menolak tawaran, SIC memutuskan ia tidak membantah pelaksanaan hak tersebut," kata SPH dalam satu kenyataan lewat semalam(9 Feb).
Konglomerat Keppel, yang pemegang saham utamanya ialah firma pelaburan negara Temasek Holdings menyatakan unit milik penuhnya tidak bersetuju dengan langkah SPH dan ia memfailkan notis timbang tara dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura.
Pada Ogos lalu, Keppel membuat tawaran untuk membeli portfolio aset hartanah global SPH, penginapan pelajar dan rumah jagaan warga emas.
Namun Cuscaden - sebuah konsortium termasuk syarikat Hotel Properties milik jutawan Ong Beng Seng dan dua syarikat berkaitan dengan Temasek yang diuruskan secara bebas - mengemukakan tawaran tunai lebih tinggi.
Perang tawaran yang jarang berlaku antara dua kumpulan syarikat yang dikaitkan dengan Temasek kemudian mendorong Cuscaden untuk membuat tawaran lebih tinggi yang disokong oleh pengarah bebas SPH pada bulan November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.