Skip to main content

Kewangan

Singapore Post selesai lakukan semakan strategik; disusun semula kepada tiga unit perniagaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapore Post pada Selasa (19 Mac) mengumumkan kumpulan itu sudah selesai melakukan semakan strategiknya, sambil menambah bahawa ia akan disusun semula kepada tiga unit perniagaan.

Setiap daripada tiga unit perniagaan di Singapura, Australia dan Antarabangsa akan "memberi tumpuan kepada pasaran masing-masing", kata SingPost.

Sejak 2020, kumpulan itu telah menjalankan "pendekatan pemerolehan yang berdisiplin dan sistematik" untuk membangunkan perniagaannya di Australia. Hasil yang dijana di luar negara kini menyumbang lebih daripada 85 peratus jumlah hasil kumpulan dan keuntungan operasi.

Menurut SingPost: "Pada tahun lepas, kami juga telah mengambil langkah untuk menangani kemerosotan dalam kiriman surat yang telah memberi kesan kepada daya maju komersil firma pos di seluruh dunia."

Pada Oktober tahun lepas, ia meningkatkan kadar bayaran pos yang menyumbang kepada segmen pos kembali meraih keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan itu.
 
Pengerusi SingPost Simon Israel berkata pada Selasa bahawa lembaga pengarah berpendapat bahawa harga saham kumpulan itu "tidak mencerminkan dengan betul nilai intrinsik syarikat".

"Ini amat ketara memandangkan nilai Pusat SingPost, perniagaan di Australia dan potensi pertumbuhan kumpulan itu," kata Encik Israel.

Harga saham SingPost terus mencatat trend menurun, ditutup pada 38 sen pada Isnin. Setakat tengah hari Selasa, harga saham meningkat 6.6 peratus kepada 40 sen.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SingPost Vincent Phang berkata: "Kami telah berubah secara progresif daripada organisasi pos tradisional kepada perusahaan logistik dan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend pertumbuhan logistik e-dagang untuk meningkatkan perniagaan kami.

"Kami memberi tumpuan kepada melaksanakan teras strategik kami untuk mewujudkan kepimpinan pasaran, berorientasikan pertumbuhan dan menjana nilai pemegang saham."

TIGA UNIT PERNIAGAAN

Singpost berkata ketiga-tiga unit perniagaan itu akan "masing-masing mempunyai ketangkasan dan pemerkasaan untuk beroperasi dalam pasaran masing-masing, untuk membangunkan kepimpinan pasaran dan membina keupayaan teras mereka mengikut strategi individu".

Unit perniagaan Singapura akan menyepadukan perniagaan logistik pos dan e-dagang ke dalam satu operasi.

Di Australia, perniagaan Freight Management Holdings, CouriersPlease dan Border Express akan disepadukan ke dalam satu unit untuk menawarkan "pelbagai perkhidmatan logistik".

Unit perniagaan antarabangsanya pula akan menguruskan penghantaran e-dagang rentas sempadan.

SingPost berkata ia telah mengenal pasti senarai aset dan perniagaan yang "bukan teras kepada strateginya" termasuk hartanah terpilih serta pelbagai aset dalam portfolio antarabangsanya.

"Memandangkan transformasi kumpulan itu kepada perusahaan logistik antarabangsa yang dipacu teknologi dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan, dasar dividen juga telah dikaji semula sebagai sebahagian daripada kajian strategik," kata Singpost.

Mulai tahun kewangan akan datang, lembaga pengarah akan melaksanakan dasar dividen untuk membayar antara 30 peratus dan 50 peratus daripada keuntungan bersih asas.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita