Singapore Airlines kekal komited sokong Air India meski alami kerugian rekod AS$2 bilion
Penumpang melihat pesawat Airbus A350-900 Singapore Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland New Zealand pada 10 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/William West)
Kumpulan syarikat penerbangan nasional Singapura itu memiliki 25.1 peratus saham dalam Air India, yang melaporkan kerugian rekod sebanyak AS$2 bilion (S$2.5 bilion) bagi tahun kewangan lalu dan diletakkan di bawah penelitian selepas nahas pesawat yang mengorbankan 260 orang pada 2025.
Berdepan pertanyaan mengenai masa depan pegangan saham SIA dalam Air India, Encik Goh meluangkan sebahagian besar sesi taklimat bagi menjelaskan pendirian kumpulan itu.
“Kami tidak pernah beranggapan bahawa ini laluan yang mudah. Sejak awal lagi apabila kami memulakan usaha sama dengan rakan kongsi Tata Sons untuk menubuhkan Vistara, kami sudah tahu bahawa ini merupakan usaha jangka panjang,” katanya.
Vistara Airlines mula beroperasi pada 2015 dan bergabung dengan Air India pada 2024, dengan SIA melabur S$360 juta sebagai sebahagian daripada urus niaga tersebut.
STRATEGI BERBILANG HAB
Encik Goh berkata strategi “berbilang hab” SIA penting bagi pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu memandangkan Singapura mempunyai kekangan dari segi fizikal dan pasaran domestik yang kecil.
“Walaupun dengan Terminal 5, pada satu ketika nanti, kami tahu kapasiti itu akan digunakan sepenuhnya. Hakikatnya, kami berada dalam pasaran kecil tanpa operasi domestik,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu jelas kelihatan semasa pandemik COVID-19 apabila penutupan sempadan menyebabkan SIA - tidak seperti syarikat penerbangan yang mempunyai rangkaian domestik - terhad kepada operasi kargo sahaja.
Faktor-faktor tersebut mendorong SIA mencari enjin pertumbuhan baharu bagi jangka panjang, katanya.
India kini merupakan pasaran pengangkutan udara ketiga terbesar di dunia, tetapi mempunyai jumlah pesawat yang jauh lebih sedikit berbanding dua pasaran terbesar iaitu Amerika Syarikat dan China.
Golongan kelas pertengahannya dijangka meningkat seganda kepada 864 juta orang menjelang 2047, disertai peningkatan pendapatan yang boleh digunakan (disposable income) serta peluasan prasarana lapangan terbang dan armada penerbangan komersial.
“Jika anda melihat India hari ini, saya rasa tiada siapa yang akan mempersoalkan potensi pertumbuhannya,” kata Encik Goh.
CABARAN AIR INDIA
Menurut Encik Goh, Air India berdepan dua cabaran industri iaitu gangguan rantaian bekalan yang melengahkan pembaharuan armada dan pengubahsuaian kabin, serta perang Timur Tengah.
Selain itu, syarikat penerbangan itu turut menghadapi tiga masalah khusus: penutupan ruang udara Pakistan kepada semua syarikat penerbangan India, nahas penerbangan AI171 yang menyebabkan pengurangan kekerapan penerbangan atas faktor keselamatan, dan kemerosotan nilai rupee India berbanding dolar Amerika.
“Ini sememangnya cabaran besar, tetapi semuanya faktor luaran,” katanya sambil menekankan peningkatan dari segi kesetiaan pelanggan dan penilaian kepuasan pelanggan Air India.
“Kami komited untuk menyokong usaha transformasi Air India, dan kami tidak bersendirian,” katanya sambil menambah bahawa pemegang saham utama Tata Sons juga turut berkongsi komitmen yang sama.
“Kami mahu menjadikan Air India sebuah syarikat penerbangan bertaraf dunia di hab India.”
BEKALAN BAHAN API DAN TAMBANG
SIA turut ditanya mengenai kemungkinan kenaikan tambang penerbangan menyusuli tekanan kos bahan api akibat perang Timur Tengah. Pihak pengurusan bagaimanapun enggan memberi komitmen jelas dan menyatakan bahawa “tambang penerbangan bergantung pada bekalan dan permintaan”.
“Kami mahu menetapkan harga pada tahap yang masih sanggup dibayar pelanggan. Jadi, kami perlu memantau pasaran dengan teliti,” kata Ketua Pegawai Komersial Lee Lik Hsin.
Kumpulan itu sebelum ini menyatakan bahawa pelarasan tambang di seluruh rangkaian SIA dan Scoot tidak sepenuhnya menampung kenaikan kos bahan api jet, yang merupakan perbelanjaan terbesar syarikat.
Prestasi kewangan syarikat bagi FY2025/2026 hanya mencerminkan kesan selama sebulan daripada perang tersebut, yang tercetus pada 28 Februari. Kesan menyeluruh dijangka dirasai dalam FY2026/2027.
SIA pada Khamis melaporkan penurunan 57.4 peratus dalam laba tahunan kepada S$1.18 bilion bagi FY2025/2026.
Penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan ketiadaan keuntungan sekali sahaja bernilai S$1.1 bilion daripada integrasi Vistara yang direkodkan dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya, selain kerugian daripada Air India.
Mengenai bekalan bahan api, Ketua Pegawai Operasi Tan Kai Ping berkata bekalan kekal stabil di seluruh rangkaian dalam jangka terdekat, tetapi keadaan jangka panjang masih tidak menentu berikutan keadaan yang “sangat tidak menentu”.
Encik Goh berkata SIA mengambil pendekatan berbeza daripada syarikat penerbangan lain yang mengurangkan kapasiti sejak perang Timur Tengah bermula.
SIA mengurangkan perkhidmatan ke Dubai dan menangguhkan pelancaran penerbangan ke Jeddah, tetapi mengumumkan tambahan kapasiti dan kekerapan bagi laluan lain – khususnya di Eropah, di mana rangkaiannya berkembang sekitar 13 peratus berbanding sebelum perang dengan Iran bermula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.